Kembali Ke Senarai Artikel

Prasekolah Khas Selangor dibuka untuk pendaftaran

04-Aug-22 oleh MOHD AZLIM ZAINUR

SHAH ALAM - Pendaftaran bagi program Prasekolah Khas Anak Istimewa Selangor (Anis) pertama di negeri ini mula dibuka kepada pemohon yang bermastautin di Selangor. Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Prasekolah Khas Anis itu dibangunkan kerajaan Selangor melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dan Jabatan Anis.

Katanya, program menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan bagi murid-murid berkeperluan khas serta membina penanda aras kepada pengusaha-pengusaha tadika dalam menyediakan fasiliti pendidikan bagi golongan murid itu di Selangor. Menurutnya, terbuka kepada murid berumur lima dan enam tahun, program Prasekolah Khas Anis memfokuskan murid dengan kategori masalah pembelajaran termasuklah autisme, sindrom Down, Attention Deficits Hyperactive Disorder (ADHD) dan Global Developmental Delay (GDD). "Ibu bapa dijemput membawa anak istimewa menghadiri prasaringan kemasukan ke Prasekolah Khas Anis di Karnival Pusat ANIS. "Karnival akan diadakan pada 6 Ogos 2022 (Sabtu) bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari bertempat di Pra-Sekolah Pusat Anis, Jalan Plumbum 7/100A, Seksyen 7, Shah Alam," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau berkata, antara syarat kelayakan yang ditetapkan adalah warganegara, ibu, bapa atau penjaga lahir di Selangor atau menetap minimum 10 tahun dan merupakan golongan B40 atau M40 serta murid pernah mengikuti Program Intervensi Awal selama minimum setahun. Dalam pada itu, beliau berkata, murid Prasekolah Khas Anis bakal mengikuti kelas intervensi awal selama empat hari seminggu dalam tempoh masa empat jam setiap hari. "Pada pertengahan dan penghujung sesi persekolahan, murid akan menerima laporan komprehensif meliputi perkembangan dan prestasi sepanjang menjalani intervensi," tambahnya. Pendaftaran awal boleh dibuat melalui https://bit.ly/3ShFTwN. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang https://www.anisselangor.com/pusatanis.