Kembali Ke Senarai Artikel

Harapan buat Si Aqil

07-Oct-22 oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Tidak ada yang luar biasa di dalam ruang main itu kecuali kedudukan sebuah buaian empat segi sama yang digantung dengan seutas kabel dari siling. Sepintas lalu, ia seakan sebuah alat timbang. Di atasnya, bersila seorang kanak-kanak lelaki. Senyuman lebar menghiasi wajahnya. Di belakang, si ibu memerhati. Buaian itu sebenarnya direka sedemikian rupa bagi melatih kanak-kanak mengimbangkan tubuh mereka. Untuk berbuai, seseorang kanak-kanak perlu bersila di tengah-tengah tempat duduk. Kalau tidak, buaian akan terjungkit, dan jika tidak berpegang pada tali buaian, mereka akan menggelongsor jatuh.

Keadaan itu bukanlah satu masalah bagi kebanyakan kanak-kanak kerana lazimnya mereka akan dapat mengimbangkan tubuh secara semula jadi tanpa perlu diajar. Namun lain ceritanya dengan Muhammed Syafiq Aqil. Bagi kanak-kanak istimewa yang didiagnosis dengan Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD) ini, kejayaan duduk di atas buaian itu tanpa terjatuh adalah satu pencapaian besar. "Kini dia sudah boleh berpegang pada tali, boleh duduk dengan baik dan dengar arahan," kongsi ibunya Nurilyana Awang, 38. Setahun lalu, kesemua itu adalah mustahil bagi kanak-kanak berusia lima tahun tersebut. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ASD merupakan satu kumpulan keadaan pelbagai, dicirikan oleh tahap kesukaran berinteraksi dan berkomunikasi. Ciri-ciri lain termasuk kesukaran beralih dari satu aktiviti ke aktiviti lain, sukar menumpukan perhatian dan tindak balas luar biasa terhadap rangsangan kederiaan. Berkongsi cerita dengan Bernama, Nurilyana berkata walaupun keadaan Aqil tidak teruk, pada tahun lepas anaknya itu tidak mampu berbuai di atas buaian tersebut kerana dia hanya mahu berdiri dan melompat di atasnya. Aqil juga tidak boleh berhenti daripada mengepak-ngepakkan tangan, iaitu satu kelakuan berulang yang lazim dipamerkan oleh individu autistik. "Sekarang cuma tinggal masalah tumpuan. Dia masih belum dapat berikan tumpuan, namun keadaannya bertambah baik," ujar eksekutif sumber manusia itu. Faktor yang menyumbang kepada perubahan pada Aqil adalah sesi bersemuka satu dengan satu yang diberikan kepada kanak-kanak itu seminggu sekali sejak Mac tahun ini di Jabatan Anak Istimewa Selangor (Anis), Pusat Sokongan Pendidikan Awal di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), Shah Alam. Paling menggembirakan Nurilyana ialah program intervensi awal itu adalah percuma, sesuatu yang amat dihargai oleh ibu tunggal dua anak tersebut. Pusat yang ideanya dicetuskan oleh Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud itu mula menerima murid pada Ogos 2021. Pusat kedua dibuka di Seksyen 7, Shah Alam dua minggu lalu. Dr Mariah memberitahu Bernama yang beliau memutuskan untuk menubuhkan program intervensi awal dan pendidikan prasekolah untuk kanak-kanak berkeperluan khas itu selepas mendengar keluhan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa. "Apabila berjumpa mereka, kebanyakannya menzahirkan kebimbangan 'kami risau tentang anak-anak kami. Apa akan jadi kepada mereka apabila kami meninggal dunia kelak?" ujar Dr Siti Mariah, mengimbas pertemuannya dengan ibu bapa terbabit. Beliau juga berpandangan penubuhan pusat sokongan yang menyediakan perkhidmatan sedemikian membawa impak lebih besar dan berpanjangan berbanding hanya memberikan bantuan kewangan kepada keluarga yang berkenaan. Menurutnya, beliau dan pasukannya mengadakan perbincangan dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan autisme serta lain-lain seperti Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) sebelum penubuhan pusat itu. Walaupun usaha bermula pada 2018, sekatan pergerakan dan kekangan lain yang dilaksanakan susulan penularan Covid-19 melewatkan pelancarannya yang dijadualkan bulan depan. Buat masa ini, pusat itu menerima kanak-kanak ASD, lewat perkembangan (GDD) iaitu istilah yyang digunakan bagi kanak-kanak yang lewat dalam perkembangan tumbesaran; Sindrom Down, kecelaruan kromoson serta sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), iaitu sejenis gangguan perkembangan neuro. Setakat ini, terdapat 55 kanak-kanak di pusat itu dengan sebahagian besar membabitkan autisme. Pusat itu merancang pengambilan yang lebih ramai tidak lama lagi. Ahli psikologi Nasom Grace Liew berkata, intervensi awal membantu kanak-kanak belajar dan beradaptasi dengan persekitaran. "Kanak-kanak yang didedahkan kepada intervensi awal yang baik akan memiliki kemahiran menyelesaikan masalah di kemudian hari. Mereka juga akan lebih peka terhadap perubahan emosi orang lain," jelasnya. Kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun biasanya dimasukkan dalam program intervensi awal yang membolehkan mereka belajar kemahiran hidup termasuk cara menggunakan tandas dan kemahiran sosial serta motor. Antara kemahiran motor yang diajar ialah cara membutangkan baju dan menggunakan gunting. Bagi kanak-kanak lebih tua, berusia antara lima dan enam tahun yang telah mencatatkan kemajuan, mereka boleh menyertai pendidikan prasekolah di bawah ANIS, iaitu komponen pendidikan di mana mereka diajar membaca, menulis dan mengira. Selepas itu, mereka akan menyertai sistem persekolahan awam, sama ada kelas biasa ataupun kelas khusus untuk anak-anak berkeperluan khas. Pusat Anis yang beroperasi di bawah Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas), terletak di aras bawah IDCC. Ia besar dan luas, dilengkapi bilik terapi dan bilik aktiviti, bilik kegunaan umum untuk kanak-kanak dan ibu bapa, serta jungle gym tertutup dikenali Indoor Sensory Gym, selain ruang pejabat untuk guru dan kakitangan pentadbiran. Di satu sudut gimnasium itu terdapat tembok memanjat untuk kanak-kanak, sementara di sudut lain pula ada kolam dipenuhi bola-bola kecil. Lantai pula beralas kusyen bagi menampan tubuh sekiranya kanak-kanak terjatuh. Turut disediakan tempat duduk untuk ibu bapa memantau dan menyertai kelas bimbingan. "Kami turut membimbing ibu bapa. Kami ajar mereka tentang apa yang penting untuk mereka ketahui agar mereka boleh berlatih di rumah," kata Dr Siti Mariah. Antara syarat yang melayakkan seseorang kanak-kanak menyertai program itu ialah rakyat Malaysia yang menetap atau lahir di Selangor dan datang daripada keluarga B40 atau M40 serta telah didiagnosis oleh pakar. Cabaran terbesar yang dihadapi oleh pusat itu ialah diagnosis. Ini kerana agak sukar bagi mendapatkan diagnosis untuk kelewatan perkembangan neuro seperti ASD dan GDD, terutama jika tidak mempunyai sumber kewangan. Selain itu, bilangan pakar juga terhad sedangkan permintaan tinggi. "Sudah tentulah kita perlu diagnosis terlebih dahulu kerana semua (program) disusun berasaskan diagnosis itu," kata Penyelaras Nasom di Titiwangsa Manonmaney Muniandy. Baru-baru ini, Akademi Pediatrik Amerika Syarikat (AS) menerbitkan satu laporan yang merangkumi 12 tahun kajian dan menyarankan intervensi awal dilakukan secepat mungkin bagi memastikan hasil yang lebih baik. Di AS, usia purata seseorang kanak-kanak didiagnosis ialah empat tahun. Di Malaysia, ibu bapa dan pakar memberitahu Bernama proses itu boleh mengambil masa berbulan-bulan, malah ada yang bertahun, sedangkan tempoh tersebut amat berharga dalam konteks intervensi awal. Contohnya, Nurilyana berkata anaknya hanya didiagnosis sebagai kanak-kanak ASD ketika berusia tiga tahun sekalipun dia sendiri perasan anaknya tidak boleh bercakap pada usia setahun setengah. Pakar pula berkata ada sesetengah ibu bapa lambat mendapatkan diagnosis kerana terlepas pandang tanda-tanda gangguan perkembangan neuro, sama ada disebabkan tidak tahu ataupun tidak mahu mengaku anak mereka mungkin mengalami masalah itu. Sedar akan hal itu, Ketua Anis Danial Al Rashid Haron memberitahu Bernama, pusat Anis menambah komponen diagnosis dalam program sokongannya. "Apabila kami buka pendaftaran pusat Anis pada tahun lepas, memang ramai yang daftar, tetapi ramai yang tak ada diagnosis. Kemudian kami berpandangan kami kena buat (program diagnosis sendiri)," jelasnya. Dr Siti Mariah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Serdang, berkata pusat itu menggaji ahli terapi yang menyediakan diagnosis fungsi bagi kanak-kanak yang layak untuk program tersebut. Pusat itu juga membiayai atau memberikan subsidi kos bagi proses diagnosis untuk ibu bapa yang memerlukan bantuan kewangan. Beliau merancang untuk memperluas perkhidmatan itu ke kawasan lain di Selangor bagi menyediakan intervensi awal dan peluang pendidikan untuk keluarga yang tidak mampu menghantar anak mereka ke pusat bandar.