30-Apr-25 oleh Siti Aisyah Mohamad
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menubuhkan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) bagi melindungi kebajikan orang kurang upaya (OKU) tanpa mengira had umur di negeri ini.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, yayasan itu akan membantu golongan tersebut melalui program pendidikan, latihan, pemberdayaan, meningkatkan kebolehupayaan berdikari dan peluang pekerjaan. Menurutnya, sebanyak RM4 juta diperuntukkan pada peringkat awal dan ia akan diagihkan mengikut dua elemen merangkumi perbelanjaan mengurus serta pembangunan. “Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) dijenamakan semula kepada YANIS dan kini didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kelulusan kementerian. “Ini menjadikan ia sebagai sebuah yayasan yang boleh menerima sumbangan awam dan menawarkan pelepasan cukai kepada penyumbang. “Dengan YANIS kita tidak hanya menumpukan kepada kanak-kanak bawah 18 tahun tetapi skop bantuan diperluas merangkumi semua peringkat umur insan istimewa,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Sambutan Hari Autisme Sedunia anjuran bersama Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan ANIS di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Selasa. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WBS, Siti Faridah Abdul Samad dan CEO Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Gan Pei Nei. Dalam majlis sama, kerajaan Selangor turut menyalurkan keseluruhan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada lima ibu tunggal yang terjejas dengan insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu. Anfaal memaklumkan, setiap seorang daripada mereka menerima bantuan sebanyak RM2,000 secara tunai bagi membantu meringankan beban yang ditanggung.