Kembali Ke Senarai Artikel

ANIS bantu 692 anak istimewa

16-Dec-22 oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Nasib seramai 692 anak istimewa di negeri ini terus dibela apabila semua mereka menerima bantuan menerusi program Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sumbangan itu bertujuan membantu ibu bapa dan penjaga anak istimewa untuk menampung kos pendidikan, terapi, peralatan serta ubat-ubatan diperlukan anak istimewa di negeri ini. "Semalam, seramai 16 keluarga anak istimewa daripada 692 permohonan diluluskan tahun lalu hadir bagi menerima bantuan peralatan. "Tujuh fasa penyaluran sudah berjalan dan berbaki lagi dua fasa. Bantuan subsidi pendidikan sebanyak RM2,000 dikreditkan terus kepada pusat intervensi awal berkenaan. "Bagi bantuan peralatan, jabatan ANIS melantik pembekal untuk membekalkan peralatan diperlukan. Peralatan akan diserahkan terus kepada keluarga anak istimewa," katanya semalam. Dr Siti Mariah berkata, sebanyak RM1.3 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program Bantuan Khas ANIS tahun lalu. "Kerajaan Negeri akan meneruskan program Bantuan Khas ANIS dan Didik ANIS bagi tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM1.5 juta. "Permohonan atas talian bagi kedua-dua program akan mula dibuka pada 17 Mei hingga 31 Mei depan menerusi laman sesawang www.anisselangor.com," katanya pada majlis penyampaian bantuan diadakan di sebuah hotel di Seksyen 13 di sini, semalam.