Kembali Ke Senarai Artikel

Selangor peruntuk RM5 juta bantu anak OKU sejak 2018

16-Dec-22 oleh Bernama

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menerusi Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) setakat ini telah membelanjakan hampir RM5 juta untuk Bantuan Khas kepada Anak Istimewa Selangor (Anis) yang memberi manfaat kepada lebih 1,500 penerima mempunyai anak berstatus orang kurang upaya (OKU) sejak 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan setiap tahun bagi pelaksanaan program yang membantu ibu bapa dan penjaga anak istimewa kurang berkemampuan menampung kos pendidikan, terapi, peralatan dan ubat-ubatan diperlukan. Beliau berkata, untuk peruntukan 2022 setakat hari ini, sejumlah RM756,770 telah diagihkan kepada 372 penerima meliputi RM605,750 untuk bantuan pendidikan kepada 303 penerima manakala selebihnya adalah bantuan peralatan dan barangan keperluan khas bagi anak OKU bernilai RM151,020. "Sebahagian besar penerima bantuan adalah dalam kalangan memohon subsidi yuran pembelajaran di Pusat Intervensi yang kini menjadi pilihan utama ibu bapa mempunyai anak dengan masalah pembelajaran. "Manakala untuk bantuan pembelian barangan, ia terbuka kepada peralatan bagi semua kategori OKU," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Anis, di sini, hari ini. Seorang penerima bantuan, Nurul Azhar Norrin, 36, berkata, bantuan berkenaan dapat meringankan beban perbelanjaan anaknya, Muhammad Darwish Danial, 11, yang menghidap penyakit Osteogenesis imperfecta (tulang rapuh) sejak berumur empat bulan. Nurul Azhar yang turut menghidap penyakit sama kini menjaga anaknya sepenuh masa selepas menamatkan kerjayanya sebagai atlet powerlifting negara. "Duit bantuan ini akan digunakan untuk beli lampin pakai buang dan susu khas kerana perbelanjaan bulanan bagi susu sahaja boleh mencecah sehingga RM600. "Saya pun tidak bekerja sekarang untuk fokus jaga anak saya kerana sewaktu saya masih atlet, saya kerap pulang ke rumah disebabkan tulang anak saya sering patah akibat banyak bergerak," katanya yang menetap di Klang. Penerima lain, Tan Kai Loo, 41 , turut teruja apabila dimaklumkan anaknya Hilary Fong, 4, yang menghidap Sindrom Down layak menerima bantuan tersebut buat kali pertama selepas menghantar permohonan pada Mei lepas. "Bantuan ini dapat membantu tampung perbelanjaan untuk keperluan anak saya kerana perbelanjaan bulanan susu khas boleh mencecah sehingga RM800 kerana dia tidak boleh minum susu biasa. Sebelum ini pernah beri minum susu biasa, tapi tidak lama kemudian anak saya dikejarkan ke hospital," kata suri rumah itu. - BERNAMA