Kembali Ke Senarai Artikel

PEMERKASAAN (EMPOWERMENT) DAN PENGUPAYAAN (ENABLEMENT) ASAS PEMBANGUNAN INKLUSIF

07-Apr-21 oleh Mohd Hafiz Bin Halim

Secara dasarnya, kertas ini akan membincangkan berkenaan satu strategi atau pendekatan yang dikenali sebagai Pendekatan Trek Berkembar (Twin-Track Approach) yang merupakan salah satu pendekatan yang popular dan efektif dalam membangunkan sesebuah komuniti khususnya bagi OKU.

Terdapat dua elemen utama yang mendasari pendekatan ini iaitu pemerkasaan (empowerment) dan pengupayaan (enablement) yang mana kedua-dua aspek ini hendaklah dijalankan secara seiring1. Pendekatan ini telah dipraktikkan secara global terutama kepada negara dunia ketiga termasuk yang sedang membangun seperti Malaysia.2 Walaubagaimanapun, negara maju seperti Jepun dan United Kingdom tidak lepas lari dalam menggunapakai strategi ini yang sememangnya mempunyai kekuatan dan signifikannya yang tersendiri khususnya dalam bidang pembangunan komuniti (Community Development). Penulisan ini akan memberi tumpuan pada aspek pembangunan khusus kepada komuniti OKU dan akan mengemukakan beberapa contoh yang sesuai dalam menerangkan dan membincangkan tentang kesesuaian pendekatan ini untuk dipraktikkan secara meluas di Malaysia amnya dan Selangor khasnya.

Pembangunan Inklusif

Sebelum kertas ini memperihalkan secara teperinci berkenaan Twin-Track,1 perlu juga kita melihat tentang apa yang dimaksudkan dengan Pembangunan Inklusif. Ini penting kerana ia merupakan hasil atau outcome yang ingin dicapai dalam menggunapakai pendekatan ini. Tema atau konsep Pembangunan Inklusif (Inclusive Development) telah mula diperkenalkan sekitar awal abad ke-21. Corak pembangunan yang bersifat ekslusif atau tertumpu pada pihak tertentu sahaja dilihat sebagai tidak berkesan dan natijahnya telah mencipta kolompongan dan jurang yang besar baik dari sudut ekonomi mahpun sosial.3 Justeru, semua pihak inginkan suatu corak pembangunan yang bersifat menyeluruh tanpa mengenepikan mana-mana pihak atau kumpulan sosial tertentu seperti orang miskin, OKU, gender dan kaum atau tergolong dalam kumpulan masyarakat rentan.

Jika diperhatikan secara global, banyak dokumen perundangan atau polisi yang dibangunkan dengan menerapkan konsep Pembangunan Inklusif 6, 7 termasuk Konvensyen Hak Untuk OKU (CRPD)8 dan Sustainable Development Goals (SDG). Dalam hal ini, SDG telah mengetengahkan falsafah “Inclusive For All’ dan ‘No One Left Behind’ yang memberi penekanan terhadap prinsip kesamaratan (Equality) dan kesaksamaan (Equity).

Ini jelas menunjukkan bahawa pembangunan Inklusif ingin mewujudkan sebuah komuniti yang bersifat meraikan kepelbagaian dan memastikan semua ahli masyarakat menikmati kehidupan yang sejahtera ditunjangi dengan sikap hormat mengmenghormati antara satu sama lain berasaskan pada prinsip kesamarataan dan kesaksamaan hak. Pembangunan sebeginilah yang ingin dipraktikkan dalam membangunkan komuniti OKU di Malaysia dan situasi ini yang ingin diterjemahkan dalam usaha untuk melakukan anjakkan paradigma daripada asas kebajikan (Charity Base) kepada asas hak (Right Base).1, 9

Apa Itu Ketidakupayaan?

Satu lagi konsep yang perlu difahami secara tuntas sebelum meneruskan perbincangan berkenaan Twin-Track adalah konsep atau maksud ketidakupayaan. Pemahaman ini penting kerana ia berkait-rapat dengan pendekatan atau strategi dalam usaha untuk mengatasi isu ketidakupayaan yang berlaku atau dihadapi oleh komuniti OKU. Secara dasarnya terdapat dua model utama yang membicarakan tentang konsep ketidakupayaan. Kertas ini akan memfokuskan pemahaman ketidakupayaan dari perspektif Model Sosial yang mana model ini antara yang awal mengetengahkan idea inklusiviti.

Dalam Model Sosial, kekurangan pada diri seseorang yang bergelar OKU dianggap sebagai suatu karektoristik. Dalam erti kata lain, model ini meraikan atau melihat kekurangan itu sebagai salah satu entiti dalam sesebuah masyarakat yang bersifat pelbagai (Diversity of the society). Dalam Akta OKU 2008 menyatakan bahawa “OKU termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat”. 10 Apa yang ingin ditekankan di sini adalah konsep kekurangan/kecacatan itu adalah sesuatu yang bersifat kekal dan tidak boleh diubah yang mana dikatakan sebagai karektoristik seseorang.

Ketidakupayaan pula berlaku atau disebabkan oleh halangan yang dihadapi oleh seseorang yang berstatus OKU seperti yang ditakrifkan dalam Akta OKU 2008 iaitu “Ketidakupayaan terhasil daripada interaksi antara orang kurang upaya dengan halangan sikap dan persekitaran yang menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat atas asas kesetaraan dengan orang upaya”. Takrifan ini jelas menunjukkan bahawa kekurangan’/kecacatan pada diri seseorang bukanlah penyebab berlakunya ketidakupayaan. Situasi OKU yang berhadapan dengan halangan yang ingin diketengahkan. Ini kerana faktor halangan itulah yang menyebabkan OKU menjadi tidak upaya. Bak kata pepatah “Sudah jatuh ditimpa tangga”. Justeru, halangan inilah yang perlu diubah atau dengan menyediakan sistem sokongan bagi membolehkan komuniti OKU menjalani kehidupan secara sejahtera. Berasaskan pada pemahaman inilah perlunya dilakukan proses pengupayaan kerana halangan atau ketidakupayaan itu berlaku dalam masyarakat.

Bertitik tolak daripada penerangan di atas maka idea untuk melakukan perubahan adalah bertujuan untuk mewujudkan suatu masyarakat yang inklusif yang lengkap dengan sistem sokongan meliputi polisi/kemudahan/perkhidmatan/peralatan disamping melakukan proses pemerkasaan khusus untuk komuniti OKU itu sendiri.11 Oleh itu, pemahaman tuntas tentang isu ketidakupayaan akan memacu pada strategi yang tepat dalam usaha untuk merangkumkan OKU dalam masyarakat. Proses pemerkasaan kepada OKU dan pengupayaan dalam masyarakat inilah yang disebut sebagai Pendekatan Twin-Track atau Trek Berkembar.1 Penulis ingin nyatakan bahawa definisi berkenaan kekurangan dan ketidakupayaan yang diketengahkan dalam kertas ini adalah bersifat global kerana turut digunakan dalam beberapa dokumen perundangan seperti Konvensyen Hak OKU (CRPD) dan Incheon Strategy; ‘Makes the right real’. .

Twin-Track; Apa & Bagaimana?

Pendekatan Twin-Track merupakan salah satu pendekatan yang berkesan dalam melakukan pembangunan untuk komuniti OKU yang sememangnya mempunyai cabaran dan halangan yang tersendiri dalam menjalani kehidupan seharian. Strategi ini juga mampu untuk mencapai salah satu prinsip yang diketengahkan dalam Konvensyen hak OKU iaitu “Full and effective participation in inclusive society”. Ini kerana untuk membolehkan OKU berintergrasi dalam masyarakat secara penuh dan berkesan memerlukan usaha dari sudut pemerkasaan kepada OKU itu sendiri dan melakukan proses pengupayaan dalam masyarakat (social enablement) yang mana akhirnya menuju kea arah mewujudkan sebuah masyarakat yang bersifat inklusif untuk semua.

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, kedua-dua elemen ini perlu dilakukan secara seiring bagi membolehkan kesan atau perubahan yang berlaku dalam keadaan yang seimbang serta bersifat holistik meliputi pelbagai aspek kehidupan. Sekiranya, pembangunan hanya menekankan pada satu aspek sahaja maka dikhuatiri hasilnya tidak berkesan secara menyeluruh. Ini disebabkan isu yang dihadapi oleh komuniti OKU adalah bersifat merentasi pelbagai displin dan melibatkan pelbagai sector atau pihak. OKU yang telah diperkasakan masih tidak mampu menjalani kehidupan secara penuh dan berkesan sekiranya masih banyak halangan atau isu ketidakupayaan masih berlaku dalam masyarakat. Di sinilah pentingnya juga untuk melakukan proses pengupayaan dalam masyarakat supaya OKU yang telah diperkasakan dapat menjalani kehidupan secara penuh dan berkesan.12

Dari sudut pemerkasaan, pembangunan atau proses yang dilakukan akan memberi tumpuan pada diri atau komuniti OKU itu sendiri. Ini kerana sememangnya OKU yang mengalami kekurangan ini memerlukan sokongan dan dukungan secara dalaman mahupun luaran bagi membolehkan mereka dapat meneruskan kehidupan secara bermaruah. Pemerkasaan juga memberi tumpuan pada aspek persiapan kendiri merangkumi aspek psikologi dan psikososial supaya komuniti OKU benar-benar bersedia masuk atau berintergrasi dalam masyarakat tanpa sebarang halangan. Misalnya, seseorang yang baru hilang penglihatan memerlukan masa untuk dia memperoleh semula semangat dan keyakinan diri untuk masuk ke dalam masyarakat. Dia harus menjalani banyak proses pemerkasaan antaranya melalui sesi kaunseling dan mengikuti kursus kemahiran yang disesuaikan dengan kekurangan yang dimiliki. OKU ini juga harus diperkasakan untuk menjalani kehidupan dengan budaya dan nilai-nilai yang lebih berorientasikan pada kekurangan atau mengikut budaya hidup komuniti OKU penglihatan yang sememangnya memiliki karektoristik yang tersendiri.

Manakala, proses pengupayaan melibatkan usaha untuk melakukan perubahan dalam masyarakat samada bersifat menghapuskan halangan atau menyediakan sistem sokongan meliputi aspek kemudahan, perkhidmatan dan peralatan. Ini kerana isu ketidakupayaan terhasil daripada halangan sikap dan persekitaran yang dihadapi oleh seseorang OKU. Justeru, kita harus memastikan sistem dan persekitaran masyarakat benar-benar mampu menyokong kehadiran OKU dalam masyarakat. Sekiranya tiada usaha untuk melakukan perubahan dan masih banyak halangan membelengu kehidupan OKU, komuniti ini akan terus berada dalam ketidakupayaan.

Selain memberi tumpuan pada aspek sikap, perubahan yang dimaksudkan dalam proses pengupayaan adalah dari sudut menyediakan sistem sokongan. Elemen ini penting bagi membolehkan OKU menjalani kehidupan secara berdikari. Secara prinsipnya, berdikari bukan bermaksud OKU itu hidup bersendirian tanpa apa-apa sokongan/dukungan samada yang bersifat kemudahan/perkhidmatan/peralatan atau daripada ahli masyarakat. 11, 13 Maksud berdikari adalah diperlengkap dengan adanya sistem sokongan yang mana OKU mampu menjalani sebuah kehidupan secara berdikari dengan adanya sistem tersebut seperti pembantu peribadi, laluan tagtile dan perkhidmatan juru Bahasa isyarat. Ini merupakan salah satu perkara pokok yang ingin diketengahkan dalam penulisan ini.

Hasilnya, komuniti OKU yang telah diperkasa dan apabila memasuki sebuah masyarakat yang telah diupayakan dengan memiliki sifat positif dan dilengkapi dengan sistem sokongan yang berkesan membolehkan komuniti ini menjalani kehidupan secara samarata/saksama serta sejahtera. Inilah yang disebut sebagai masyarakat yang inklusif dan situasi inilah juga yang selaras dengan slogan “Rahmatan Lil Alamin” yang menjadi teras dalam pembangunan di bawah kerajaan Malaysia baru.

Bagi membolehkan Twin-Track ini dapat diperjelaskan dengan lebih berkesan, kebiasaannya gambar rajah berbentuk basikal akan digunakan.1, 13 Dua roda yang ada pada basikal tersebut merupakan dua elemen utama iaitu di bahagian hadapan adalah pengupayaan sosial dan belakangnya pula adalah memperkasa komuniti OKU. Pihak-pihak yang berkepentingan meliputi komuniti OKU, pihak kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) digambarkan berada di atas tempat dujuk utama sebagai pemandu atau pelaksana. Manakala, padel atau tempat pengayuh yang ada pada basikal itu mewakili sistem sokongan merangkumi perkhidmatan, kemudahan dan peralatan yang disediakan merentasi kedua-dua belah roda tersebut. Akhirnya, basikal ini akan menuju ke destinasinya iaitu sebuah masyarakat yang inklusif untuk semua. Sistem sebeginilah yang ingin diterapkan dalam corak pembangunan sesebuah negara dalam usaha untuk mencapai status negara maju. Perlu diingat bahawa salah satu komponen utama dalam pembentukan sebuah negara maju adalah dari aspek keterangkuman sosial.

Twin-Track; Suatu perbincangan

Bahagian ini akan membincangkan tentang pemakaian pendekatan Trek Berkembar secara praktiknya pada dua situasi iaitu perlaksanaan strategi Pemulihan Dalam Komuniti (Community Base Rehabilitation) dan menyentuh berkenaan isu pekerjaan yang merupakan salah satu cabaran utama kepada komuniti OKU. Penulis akan memberi pencerahan secara ringkas bagaimana Pendekatan ini diterapkan dan mendasari dalam perlaksanaan program/aktiviti yang dilakukan dalam kedua-dua situasi ini.

Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)

Di Malaysia, strategi Community Base Rehabilitation atau singkatannya CBR telah diterjemahkan dalam satu program yang dikenali sebagai program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)14 yang mana program ini mula diperkenalkan secara rasmi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula di Kampung Batu Rakit, Ulu Trengganu pada tahun 1984. Secara global, strategi CBR turut terkesan dengan anjakan paradigma daripada asas kebajikan kepada asas hak yang mana idea yang diketengahkan dalam Model Sosial telah dijadikan sebagai salah satu tunjang utama dalam strategi ini. Kesannya, strategi ini telah dijenamakan semula dengan nama “Community Base Inclusive Development” atau CBID. Pastinya, pendekatan Trek Berkembar adalah asas dalam menggerakkan strategi ini kerana tujuannya menghala ke arah pembangunan secara inklusif.

Semasa penulisan ini dihasilkan, PDK telah mengalami transformasi yang mana program ini telah berubah status kepada sebuah pertubuhan. Dengan kata lain, program ini tidak lagi dinaungi sepenuhnya oleh pihak kerajaan di bawah JKM. Kini, pertubahan PDK bersifat kepunyaan komuniti (Community Ownership) yang mana ini merupakan salah satu prinsip asas dalam merealisasikan CBR/CBID. Ini merupakan suatu cabaran kepada pertubuhan PDK ini ke arah memastikan program ini mampu bertahan dan berdaya saing serta mapan. Namun begitu, sekiranya ahli jawatankuasa dan penggerak PDK itu sendiri dapat memainkan peranan secara berkesan dengan sokongan/dukungan komuniti setempat maka pertubuhan ini akan tetap relevan dan terus beroperasi sebagai salah satu pusat pembangunan untuk OKU pada pelbagai aspek kehidupan sepertimana yang digariskan dalam lima CBR Metrix iaitu kesihatan, pendidikan, lively hood, pemerkasaan (empowerment) dan sosial.

Transformasi yang berlaku pada PDK baik dari sudut strategi mahupun status entiti tidak mengurangkan keberkesanan dan peranan PDK dalam menggerakkan agenda perangkuman kepada komuniti OKU. Malahan, CBID yang menerapkan Twin-Track akan bergerak dengan lebih berkesan dan secara holistic tanpa memberi penekanan terhadap aspek pemerkasaan dan pemulihan kepada OKU semata-mata. Ini kerana proses pengupayaan sosial juga turut dijadikan agenda utama dalam usaha untuk mengintergrasikan OKU dalam masyarakat yang inklusif.

Pada masa yang sama, sumber setempat (local resource) yang ada dalam masyarakat boleh digembelingkan secara bersama untuk menyediakan persekitaran yang mampu mengupayakan OKU dalam masyarakat. Ini termasuklah penglibatan semua pihak berkepentingan (stakeholder) meliputi pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan. Misalnya, PDK boleh membuat jaringan sosial bersama semua entiti sosial seperti Majlis pembangunan Komuniti Kampung (MPKK), Rukun Tetangga, persatuan penduduk dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk sama-sama menyumbang dalam menyediakan apa saja perkhidmatan atau kemudahan untuk manfaat OKU. Malahan, kesemua entiti ini boleh dilibatkan dengan mana-mana program yang sesuai.

Akhirnya, PDK akan berkembang menjadi sebuah pusat pembangunan masyarakat yang lebih didamik dan holistic serta memiliki jaringan sosial yang kukuh dalam masyarakat ke arah membolehkan OKU diintergrasikan dalam masyarakat secara penuh dan berkesan. Ini yang dikatakan sebagai pembangunan yang seimbang, inklusif dan lestari (Sustainable Development).

OKU dan Pekerjaan

Antara isu utama yang sehingga kini masih diperjuangkan dan mencari jalan penyelesaian yang efektif adalah dari sudut pekerjaan. Secara umumnya, komuniti OKU seringkali dikaitkan dengan kemiskinan yang mana salah satu elemen yang dikaitkan dengan isu ini adalah peluang pekerjaan itu sendiri. 15, 16 Kita akan melihat bagaimana Twin-Track diaplikasikan dan diterjemahkan melalui program/aktiviti yang bersesuaian bagi tujuan untuk memperkasakan OKU dalam pekerjaan. Kertas ini akan mengemukakan situasi beserta contoh program/aktiviti yang relevan berasaskan pada pendekatan ini iaitu pemerkasaan dan pengupayaan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pihak kerajaan telah banyak menjalankan inisyiatif dalam usaha untuk membolehkan OKU memperoleh pekerjaan dan sekaligus dapat keluar daripada kepompong kemiskinan. Kebanyakkan dasar/polisi baik bersifat glokal mahupun global ada menyatakan tentang hak OKU untuk akses kepada pekerjaan yang menjurus pada pembangunan ekonomi. Misalnya, dasar 1% peluang pekerjaan untuk OKU di sector awam telah diperkenalkan semenjak tahun 1988 melalui Pekeliling Bil. 10 Tahun 1988 sehingga diperbaharui dengan adanya Pekeliling Bil. 16 2010. Sehingga kini dasar ini masih belum mencapai peratusan yang disasarkan.

Dalam menggunapakai pendekatan Twin-Track, kesediaan daripada kedua-dua belah pihak perlu dilakukan iaitu penyediaan sistem sokongan yang munasabah dalam melantik OKU dan juga perlu ada calon OKU yang cukup untuk menyandang jawatan yang ditawarkan. Dalam hal ini, banyak pihak yang harus memainkan peranan.15 Misalnya, pihak kerajaan dan NGO OKU boleh mengadakan program yang bersifat untuk menyediakan seramai mungkin calon OKU yang berpotensi dan pada masa yang sama mempersiapkan sistem dan premis kerajaan supaya dapat menerima kehadiran OKU sebagai pekerja. Sekiranya, ramai calon OKU yang telah bersedia tetapi halangan sikap dan persekitaran masih ada maka usaha yang murni ini tidak dapat dilakukan dengan berkesan. Alasan ketidaksediaan dari sudut sistem sokongan akan digunakan untuk tidak mengambil OKU bekerja. Natijahnya, isu ini akan tetap berterusan dan usaha untuk memperkasakan OKU dalam pekerjaan hanya menjadi sebagai satu retorik.

Kesimpulan

Sehingga kini, usaha untuk membangunkan komuniti OKU berasakan hak masih menjadi suatu cabaran dan perlu mencari formula atau strategi yang terbaik untuk menghadapinya. Kertas ini ingin mengetengahkan suatu pendekatan yang dirasakan relevan untuk digunapakai iaitu pendekatan Twin-Track. Apa yang perlu dilakukan adalah mengadabtasi dan meletakkan pendekatan ini untuk menunjangi segala usaha melalui program/aktiviti yang dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan dalam pembangunan OKU baik kerajaan, swasta, NGO dan aktivis OKU ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang inklusif untuk semua. Semoga pihak kerajaan tidak kira peringkat persekutuan atau negeri dapat memasukkan idea yang dicanangkan dalam pendekatan ini untuk mendasari segala program/aktiviti yang bakal dirancang dan dilaksanakan. Ameen…

Rujukan

1. Kuno, K. and D. Seddon (2003). Kaihatsu niokeru Syogaisyabunya no Twin-track Appraoch no Zitsugen ni Mukete (A Study on Twin-track Approach in Disability and Development). Tokyo, Japan International Cooperation Agency.

2. Kuno, K. (2009). Disability equality training (DET): Potentials and challenges in practice in developing countries. Asia Pacific Disability Rehabilitation Journal, 20(1), 4-51.

3. Harris, A. & Enfield, S. (2003). Disability, Equality and Human Rights: A Training Manual for Development and Humanitarian Organisations . Oxford, Oxfam.

4. Oliver, M., & Sapey, B. (1983). Social work with disabled people. Macmillan International Higher Education.

5. Valle, J.W. and Connor, D.J. (2011). Rethinking Disability: A Disability Studies Approach to Inclusive Practices . New York: McGraw‐Hill

6. Walzer, M. (1987). A disability studies approach to inclusive practices. New York, NY: McGraw HUl.

7. Oliver, M. (1990). Politics of disablement. Macmillan International Higher Education.

8. Convention on the Rights of Persons with Disabilities and Optional Protocol. Diakses dari https://www.un.org/development/desa/disabilities/convention-on-the-rights-of-persons-with-disabilities.html.

9. Liz Carr, Paul Darke, & Kenji Kuno (2012). Disability Equality Training: Action for Change, Kuala Lumpur, MPH Publishing

10. Akta Orang Kurang Upaya 2008. Percetakan Nasional Malaysia Berhad. Kuala Lumpur.

11. French, S. (1992). Simulation exercises in disability awareness training: A critique. Disability, Handicap & Society, 7(3), 257-266.

12. Campbell, J. & Gillespie-Sells, K. (1991). Disability Equality Training: Trainers Guide. London, Central Council for Education & Training in Social Work (CCETSW),

13. Lang, R. & D. Seddon (1999). Disability and Development Studies: Towards an Integrated Approach . Development Studies Association (DSA) Annual Conference, 12-14 September, at University of Bath.

14. Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). Diakses dari http://www.jkm.gov.my/jkm/

15. Schriner, K. (2001). A disability studies perspective on employment issues and policies for disabled people. Dalam G. L. Albrecht, K D. Seelman, & M. Bury (Eds.), Handbook of disability studies (hlmn 642-662). Thousand Oaks, CA: Sage.

16. Shakespeare, T. (2006). Disability rights and wrongs. New York, NY: Routledge. Society for Disability Studies, (n.d.). SDS mission. Diakses dari http://www.disstudies.org/about/niission.