Kembali Ke Senarai Artikel

Selangor tubuh pusat prasekolah ANIS, bantu pembelajaran anak istimewa

16-Jan-23 oleh BERNAMA

Shah Alam: Kerajaan Selangor menerusi Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) hari ini merasmikan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (ANIS) bagi membantu kanak-kanak istimewa mendapat peluang dan kemudahan pendidikan khas yang seiring dengan perkembangan murid

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pusat berkenaan terbuka kepada semua anak istimewa kelahiran Selangor bagi kategori kurang upaya pembelajaran antaranya lewat perkembangan secara umum atau global developmental delay (GDD), sindrom Down dan gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif atau attention deficit hyperactivity disorder (ADHD) yang berumur 5 hingga 6 tahun tanpa sebarang yuran. Amirudin berkata, sebanyak RM1.9 juta diperuntukkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam selaku rakan kerjasama untuk menaik taraf sebuah dewan orang ramai kepada pusat prasekolah manakala YAWAS membelanjakan RM300,000 untuk kelengkapan pembelajaran serta lain-lain. Jelasnya lagi, pengoperasian pusat berkenaan sejak 22 November 2022 itu dilihat sebagai penanda aras kepada pengusaha tadika khususnya di Selangor dalam menyediakan fasiliti pendidikan bagi murid berkeperluan khas. "Mungkin selepas ini kita boleh lihat kerjasama (dengan pihak berkuasa tempatan) di tempat lain untuk wujudkan banyak lagi (Pusat Prasekolah ANIS) supaya ibu bapa yang mempunyai anak istimewa dapat menghantar anak mereka ke pusat tersebut terutamanya mereka yang tidak mampu untuk berbuat demikian kerana kosnya agak mahal. "Jadi jika mereka masukkan anak-anak di sini, sekurang-kurangnya kanak-kanak tersebut mempunyai kemahiran asas (sama seperti kanak-kanak normal) di peringkat prasekolah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pusat Prasekolah ANIS, Seksyen 7 di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud dan Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid. Amirudin berkata, kerajaan negeri sehingga kini menerima hampir 100 permohonan untuk menubuhkan Pusat Prasekolah ANIS dan 35 daripadanya bakal dilaksanakan dalam masa terdekat. Sementara itu, Dr Siti Mariah berkata, di pusat pendidikan itu, ibu bapa juga akan diberi pendedahan dan ilmu berguna khususnya dalam mengurus kanak-kanak kurang upaya. "Contohnya mereka (kanak-kanak istimewa) menghadapi masalah 'toilet training' atau cara makan. Semua perkara asas tersebut kita anggap normal, tapi anak-anak ini perlu dilatih (menerusi latihan khas). Latihan dibuat di sini secara 'one-to-one' oleh guru bertauliah bersama ibu bapa sekali seminggu selama dua jam dalam satu sesi," katanya. Katanya, penubuhan Pusat Prasekolah ANIS itu akan diperluaskan ke kawasan luar bandar selepas ini antaranya di Rawang, Kuala Selangor dan Kuala Langat.