Kembali Ke Senarai Artikel

Prasekolah AnIS bawa perubahan positif, tingkatkan kemahiran diri anak-anak OKU

16-Jan-23 oleh Zareef Muzammil

SHAH ALAM, 13 JAN: Tiga bulan mendapat didikan dan asuhan di Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) membawa perubahan positif buat keluarga kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) ini.

Ahmad Azizi Hakim, 33, mengakui masalah pertuturan anak sulungnya Muhammad Al-Fateh, 7, menunjukkan perkembangan apabila kini mampu berkomunikasi dengan baik malah suka menyanyi di rumah. “Saya dan isteri boleh nampak perubahan positif dalam dirinya. Dulu dia susah bagi ayat penuh setiap kali bercakap tetapi sekarang sebaliknya, siap menyanyi lagi ikut cara dia. “Bukan itu sahaja, sekarang pun dia sudah pandai bangun sendiri waktu pagi untuk ke sekolah berbanding sebelum ini agak sukar untuk kejut dia bangun,” katanya di sini semalam. Sebelum itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Pusat Prasekolah AnIS di Seksyen 7, di sini semalam. Sementara itu, Nurul Ashikin Rais, 34, berkata anaknya Muhammad Iman Fayyad Muhammad Firdaus, 6, semakin minat untuk ke sekolah berbanding sebelum ini atas faktor persekitaran. Meski belum mampu menilai sejauh mana perkembangan anaknya itu, namun dia mengakui Muhammad Iman yang didiagnos autisme sejak usia setahun enam bulan seronok bertemu dan belajar bersama rakan-rakan di pusat berkenaan. “Pada usianya dua tahun, saya hantar dia ke sebuah pusat intervensi swasta. Ketika itu susah pujuk dia, tetapi sekarang dia sangat suka datang sini. “Bila saya cakap mahu hantar ke AnIS, dia teruja. Mungkin persekitaran memberi keseronokan buatnya,” katanya. Nur Fatihah Muhammad, 32, berkata anak sulungnya Muhammad Ammar Muhammad Afiq, 7, kanak-kanak autisme sudah pandai bercerita selain kerap berkomunikasi sejak mengikuti pembelajaran di AnIS November lalu.