Kembali Ke Senarai Artikel

EXCO: Cakna anak istimewa, dana RM5 juta untuk kebajikan, pendidikan

12-Apr-23 oleh Siti Rohaizah Zainal (SelangorKini)

KLANG, 2 APRIL: Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan pendidikan kanak-kanak istimewa termasuk meningkatkan keupayaan golongan tersebut menerusi pelbagai program. EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata komitmen Selangor dibuktikan menerusi peruntukan yang ditambah kepada RM5 juta berbanding hanya RM3 juta sebelum ini.

“Sejak 2018, Kerajaan Negeri memulakan program-program berbentuk pengupayaan dalam membantu keluarga dan guru-guru untuk meningkatkan keupayaan anak-anak ini termasuk bantuan khas didik Anak Istimewa Selangor (ANiS). “Kita sedar untuk pendidikan anak-anak istimewa ini kosnya tinggi, jadi kita wujudkan pusat sokongan yang dilengkapi pakar kanak-kanak, pembelajaran dan pertuturan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kesedaran Autisme peringkat negeri Selangor di KPJ Klang Specialist Hospital hari ini. Turut hadir, Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei. Tambah Siti Mariah, setakat ini seramai 100 kanak-kanak menerima pendidikan khas di Pusat Prasekolah ANiS Seksyen 7 dan Pusat Sokongan Pendidikan Awal ANiS dengan peruntukan kos RM1juta. “80 peratus daripadanya merupakan kanak-kanak autisme dan mereka akan datang seminggu sekali dan akan diberi tunjuk ajar termasuk kekemasan diri serta latihan ke tandas,” katanya.