30-Jul-23 oleh Zareef Muzammil
SHAH ALAM, 17 JUN: Belia kurang upaya (OKU) Selangor yang terpilih mengikuti program latihan dan kemahiran di Pusat Sokongan Kehidupan Berdikari (ILSC) akan diumum selewat-lewatnya Selasa depan.
Ketua Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) berkata seramai 63 belia OKU pembelajaran termasuk seorang cacat penglihatan berusia 17 hingga 22 tahun selesai menjalani sesi temuduga dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kelmarin. “Pihak KBS akan memberi senarai nama pelajar yang diterima masuk ke ILSC sama ada Isnin atau Selasa minggu depan untuk mengikuti program berkenaan. “Setakat ini sebanyak 56 kekosongan disediakan meliputi kursus pengurusan kafe, teknologi maklumat, bakeri dan cenderahati berasaskan sukan,” kata Danial Al-Rashid Haron ketika dihubungi. Beliau turut memberitahu peserta terpilih dijangka menjalani latihan terbabit pada Ogos depan dengan yuran ditaja sepenuhnya AnIS. “Kita mengucapkan tahniah kepada peserta yang layak dan diharap mereka dapat mengikuti program latihan dengan sebaiknya,” katanya. Sebelum ini, EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan penubuhan ILSC di setiap daerah bagi memberi latihan dan kemahiran kepada OKU dengan peruntukan RM1 juta. Program bertujuan meningkatkan peluang pekerjaan kepada golongan terbabit dikhususkan untuk mereka yang mempunyai masalah pembelajaran namun mampu mengurus diri, mengusai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.