Kembali Ke Senarai Artikel

200 hadiri forum kongsi pengalaman, ilmu jaga anak istimewa

30-Jul-23 oleh Sheeda Fathil

SHAH ALAM, 27 MEI: Hampir 200 peserta hadir ke Simposium Anak Istimewa Selangor (ANIS) 3.0 di Pusat Konvensyen IDCC di sini hari ini. Ketua Jabatannya Danial Al-Rashid Haron berkata program tahunan itu bertujuan memberi pendedahan dan penerangan kepada ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya.

“Seperti kita sedia maklum Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan anak istimewa dan menerusi simposium ini kita menampilkan pelbagai pengisian bermanfaat untuk ibu bapa yang memiliki anak seperti ini. “Kita harap dengan perkongsian pada hari ini dapat memberi ilmu baharu kepada ibu bapa yang mungkin baharu ada anak autisme dan setidaknya mereka tahu untuk membesarkan anak ini,” katanya. Menurut Danial, simposium itu juga sebagai salah satu medium mengumpul pendidik daripada Program Pendidikan Khas Integrasi dan Program Pemulihan Dalam Komuniti untuk membincangkan cabaran mendidik anak istimewa. “Ini merupakan kesinambungan daripada program ANIS sepanjang tahun yang kita kumpul dan bawa dalam majlis hari ini untuk dibincang dan berkongsi pandangan,” katanya. Beliau menambah ANIS juga membuka peluang kepada ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka mendapat rawatan intervensi dengan membuat permohonan menerusi http://www.anisselangor.com/intervensianis Tempoh pendaftaran sepanjang tahun dan terbuka kepada kanak-kanak autisme, kecelaruan hiperaktiviti kekurangan perhatian (ADHD), kelewatan pertuturan dan sindrom down.