Kembali Ke Senarai Artikel

MENGENALI DISLEKSIA

28-Apr-21 oleh Uzzairah Nabila Ahmad Tazli

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2013), disleksia adalah masalah murid yang mempunyai kecerdasan mental yang selaras atau melebihi murid biasa tetapi menghadapi kesukaran yang tinggi dalam menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengeja. Disleksia tidak dianggap sebagai satu penyakit tetapi memerlukan program pendidikan yang bersesuaian agar masalah ini dapat dikurangkan.

Dianggarkan 4 - 8% murid sekolah yang bermasalah disleksia dan kanak-kanak lelaki lebih ramai bermasalah disleksia berbanding perempuan. (Nurul Farhanah&Mohd Jasmy, 2018). Kebiasaannya disleksia lebih ramai dihadapi oleh kanak-kanak lelaki berbanding perempuan dengan nisbah 3 : 1 atau 2:1 Ini disebabkan kanak-kanak lelaki memiliki perkembangan saraf yang agak lambat berbanding kanak-kanak perempuan dan ini mungkin menjadi salah satu punca utama. (Tg, Iffah & SooYin, 2015).

Menurut Persatuan Disleksia Antarabangsa (International Dyslexia Association) (2012), disleksia merujuk kepada aspek kesukaran membaca. Namun tanpa kita sedar, golongan disleksia ini sebenarnya mempunyai pelbagai keistimewaan termasuklah kepintaran dan kecerdasan dalam perkara lain. Ini disebabkan otak setiap individu dalam usaha pemprosesan maklumat berbeza terutamanya berkenaan bunyi, simbol dan makna. (Nurul Farhanah&Mohd Jasmy, 2018). Ini disokong daripada kajian Zaliza, Mahfuzah & Ahmad (2014), yang mana kira-kira 3-5% daripada kanak-kanak yang bersekolah menghadapi masalah disleksia dikategorikan mempunyai kepintaran yang normal iaitu mereka hanya mempunyai kesukaran sama ada dari segi membaca, menulis atau mempelajari bahasa-bahasa lain, membuat kira-kira atau mengingati sesuatu secara keseluruhan dan hanya mengingati sebahagian sahaja.

Mengikut Zaliza, Mahfuzah dan Ahmad (2014), kesedaran masyarakat mengenai sindrom disleksia tidak begitu tinggi berikutan kurangnya pengetahuan mengenai sindrom ini. Terdapat banyak ciri kanak-kanak bermasalah pembelajaran disleksia. Benton dan Pearls (1996) mencirikan masalah pembelajaran disleksia kepada enam ciri yang dapat membantu masyarakat mengenalpasti kanak-kanak disleksia. Antaranya adalah 1) kesukaran belajar bahasa di mana kanak-kanak ini sering kurangkan atau menambah huruf konsonan atau vokal ketika membaca. 2) Mereka tidak menulis dengan lancar dan tepat di mana sukar untuk menyalin semula tulisan daripada bahan bercetak Contohnya huruf b dan d, s dan 5 serta menulis perkataan seperti masam menjadi ma5am. 3) Kanak-kanak disleksia juga tidak lancar ketika membaca bahan bercetak kerana sering keliru pada huruf dan angka yang mempunyai rupa yang hampir sama. Mereka mempunyai ketidakseimbangan kebolehan intelektual dan sering keliru dalam menyampaikan sesuatu seperti bawah disebut atas, kanan disebut kiri. Malah, mereka juga sering keliru dengan bahasa Melayu dan Inggeris seperti jem-jam. 5) Mata juga menjadi penat apabila tertumpu kepada tulisan. 6) Daya tumpuan kanak-kaank terhad dan singkat dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

Menurut Mercer (1997), antara punca disleksia adalah faktor keturunan atau genetik, biologi dan tahap kematangan. Disleksia boleh diwarisi kerana kebanyakan kes yang berlaku berpunca daripada ahli keluarga yang mengalami masalah yang sama cuma tahap yang membezakannya. Terdapat 50 peratus atau lebih kanak-kanak disleksia mewarisi masalah tersebut daripada kedua ibu bapa yang mempunyai masalah yang sama ketika kecil (Tg, Iffah & SooYin, 2015). Dari sudut biologi, disleksia dikaitkan dengan kelahiran kanak-kanak pramatang, kurang oksigen semasa melahirkan atau komplikasi semasa melahirkan menjadi antara punca berlakunya disleksia.

Disleksia terbahagi kepada tiga jenis iaitu disleksia visual (penglihatan), auditori (pendengaran) dan juga visual-auditori. Disleksia visual menghadapi kesukaran untuk mengingat dan mengenal abjad seperti konfigurasi perkataan. Disleksia auditori adalah kesukaran mengingat bunyi abjad, menganalisis bunyi mengikut suku kata perkataan dan menyusun atau menggabungkan suku kata bagi membunyikan perkataan. Disleksia visual auditori adalah kesukaran yang amat teruk yang disebabkan oleh kelemahan untuk memroses tulisan secara visual dan audio.

Guru dan ibu bapa sebagai insan yang paling rapat dengan anak-anak perlu peka terhadap tahap perkembangan anak-anak. Guru perlu memberi nasihat supaya kanak-kanak yang mempunyai symptom disleksia dibawa kepada pakar bagi tujuan intervensi. Galakan dan sokongan sangat perlu kepada kanak-kanak untuk memperkembangkan potensi yang ada pada diri mereka dan meningkatkan keyakinan mereka untuk belajar. Ibu bapa juga perlu sentiasa sabra dan melakukan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan minat kanak-kanak untuk belajar dan membaca.

RUJUKAN

Benton, A.L., & Pearl, D. (Eds.). (1978). Dyslexia: An appraisal of current knowledge. New York: Oxford.

Mercer, C. D. (1997). Students with learning disabilites. U.S.A: Merrille, Prentice Hall.

Nurul Farhanah & Mohd Jasmy. Prevalence murid berisiko disleksia dalam kalangan kanak-kanak prasekolah. Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018

Tg. Iffah & See Soo Yin. (2015). Pemahaman ibu bapa terhadap masalah disleksia : jeli,

Kelantan. Konferens Antarabangsa Pendidikan Dan Keusahawanan Sosial Islam (ICIESE) Universiti Malaysia Kelantan, 12-14 Oktober 2015.

Zaliza, Mahfuzah & Ahmad Hifzurrahman (2014). Disleksia dalam aspek ejaan bacaan bahasa Melayu. Diambil daripada http://www.psasir.upm.edu.my/10266/1/FBMK_2003_12_A.pdf.