Kembali Ke Senarai Artikel

1,800 individu mohon bantuan khas anak istimewa, ibu bapa makin cakna

30-Jul-23 oleh Sheeda Fathil

SHAH ALAM, 28 MEI: Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) yang dibuka permohonan sejak 15 Mei lalu menerima 1,800 permohonan sehingga tarikh tutup semalam. Ketua Jabatan AnIS Danial Al-Rashid Haron berkata angka itu sekali gus membuktikan ramai ibu bapa mulai cakna berhubung bantuan disalurkan Kerajaan Negeri itu.

“Jika ikutkan jumlah permohonan ini melebihi peruntukan asal iaitu RM1 juta tetapi kita cuba perhalusi dan mohon daripada Kerajaan Negeri agar dana boleh ditambah supaya lebih ramai dapat menerima bantuan ini. “Insya-Allah, sepanjang tiga minggu ini kita akan cuba menilai mana yang layak terima dan keutamaan diberi kepada yang memohon awal dan kurang berkemampuan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Simposium AnIS 3.0 di Pusat Konvensyen IDCC di sini semalam. Permohonan itu meliputi bantuan makanan atau keperluan tambahan, pembelian atau pembaikan peralatan serta mesin dan ubatan-ubatan. Turut ditawar subsidi yuran pendidikan meliputi terapi atau kelas khas kepada mereka yang layak berdasarkan preskripsi doktor sahaja. Insentif tersebut menawarkan bantuan sekali bayar (one-off) dengan had maksimum sehingga RM5,000 bagi satu keluarga.