Kembali Ke Senarai Artikel

MB: Dasar pembangunan kanak-kanak tumpu segenap aspek, depani cabaran masa depan

30-Jul-23 oleh Sheeda Fathil

SHAH ALAM, 28 MEI: Selangor memperkenalkan dasar berkaitan kanak-kanak yang menyediakan pelbagai program di peringkat akar umbi untuk membentuk generasi masa depan yang berdaya tahan. Dato’ Menteri Besar berkata Dasar Pembangunan Kanak-kanak Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025 menumpukan segenap aspek antaranya kebajikan, kesihatan, pendidikan dan keselamatan kanak-kanak

“Dasar yang mempunyai 10 tonggak utama ini telah dibentang dan diluluskan Dewan Negeri Selangor (DNS). Dasar yang julung kali diperkenalkan ini diyakini melahirkan generasi berdaya tahan mendepani cabaran hari ini dan masa depan. “Saya percaya dasar yang progresif dan komprehensif ini akan meletakkan Selangor sebagai salah sebuah negeri terulung terutama dalam aspek kesejahteraan. “Langkah yang disusun selari dengan situasi terkini. Penglibatan pemegang taruh yang meluas akan memperlihatkan ruang penambahbaikan dan mempertingkatkan kemampuan ekosistem Selangor dalam membangunkan jati diri dan kebolehan kanak-kanak,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari. Beliau berucap ketika merasmikan penutup Karnival Kanak-Kanak Negeri Selangor 2023 dan pelancaran Dasar Pembangunan Kanak-kanak Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025 di Dewan Raja Muda Musa di sini, hari ini. Amirudin berkata usaha lebih menyeluruh perlu dilaksanakan kerana golongan kanak-kanak menerima tempias yang amat besar akibat penularan pandemik Covid-19. “Justeru, Kerajaan Negeri berusaha mewujudkan pelbagai inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang, pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin dan Kita Selangor supaya jurang yang timbul dalam kalangan kanak-kanak dapat ditangani secara efektif dan tuntas. “Malah, perubahan dan perkembangan fizikal, pembelajaran kemahiran, serta pergaulan dan interaksi dengan dunia luar wajar diberi perhatian yang bersesuaian oleh penjaga serta pemegang taruh supaya kanak-kanak dapat dibentuk secara menyeluruh,” katanya. Berikut 10 tonggak Dasar Pembangunan Kanak-kanak Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025 : Persediaan keibubapaan dan pra kelahiran Pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak Pendidikan (peringkat rendah dan menengah) Kesihatan Kesejahteraan keluarga Perkembangan sosial & komunikasi Teknologi dalam perkembangan kanak-kanak Infrastruktur dan keselamatan Tahap sosioekonomi keluarga Penglibatan pemegang taruh