Kembali Ke Senarai Artikel

Tambahan RM1 juta untuk Yanis

30-Jul-23 oleh ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meluluskan peruntukan tambahan RM1 juta kepada Yayasan Insan Istimewa Selangor (Yanis) bagi membolehkan pertubuhan di bawah Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) itu laksanakan program bersasar.

Beliau berkata, Yanis sebelum ini ditubuhkan dengan peruntukan sebanyak RM4 juta yang dirancang bagi membantu memberikan perkhidmatan serta mensejahterakan golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini. “Yanis akan melihat pembangunan anak istimewa secara menyeluruh. Mereka ada yang autisme, down sindrom, lumpuh jadi banyak perkara perlu dilihat serta tindakan. “Walaupun jumlah mereka hanya lima persen maksima dalam kalangan komuniti, namun kita perlu bertanggungjawab supaya tiada golongan tersisih atau tertinggal di negeri ini,” katanya pada majlis pra-pelancaran Yanis, hari ini. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita & Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata,Yanis akan menyokong kesinambungan inisiatif bawah skim Anak Istimewa Selangor (Anis) yang dikhaskan kepada golongan OKU. “Yayasan akan melaksanakan program pemberdayaan melalui Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anis serta pra-sekolah Anis selain mempergiatkan program Inisiatif Saringan Awal “Kita turut mengendalikan siri pengajian, latihan intensif serta kursus bagi mempercepatkan penglibatan OKU dalam pelbagai bidang,” ujarnya. – UTUSAN