Kembali Ke Senarai Artikel

MENULUSURI SEJARAH TRANSFORMASI PENDIDIKAN KHAS DI MALAYSIA

28-Apr-21 oleh Norazly Nordin

"Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti". (Surah Al Hujurat Ayat 13)

Daripada ayat di atas, kita dapat gambarkan bahawa kita diciptakan berpasangang dan berlainan serta dari bangsa atau suku yang berbeza. Terdapat rahmah Tuhan di atas kepelbagaian ini iaitu kita dapat mengenali antara satu sama lain serta saling lengkap-melengkapi. Sudah tentunya perkara ini menjadikan kita menjadi lebih kuat serta penerimaan kepelbagaian akan menjadikan kita hidup dalam aman, sejahtera dan sentiasa di dalam kerukunan.

Tidak semua yang dilahirkan sempurna. Ada terdapat insan yang dilahirkan secara istimewa dengan sedikit kekurangan dan keterbatasan baik dari aspek fizikal, mental, tingkah laku dan sebagainya. Golongan istimewa ini memerlukan dukungan dan sistem sokongan yang baik untuk mereka sama-sama mendapat tempat dalam kalangan komuniti. Dalam aspek hak asasi manusia, setiap individu tanpa mengira latar belakang agama, budaya, bangsa dan warna kulit perlu mendapat hak pendidikan baik secara formal mahupun tidak formal. Pendidikan tersebut hendaklah bersesuaian dengan perkembangan dan kemampuan mereka. Oleh yang demikian, pihak berkuasa dan berkewajipan perlulah berusaha untuk menyediakan pendidikan yang sewajarkan kepada golongan istimewa bagi memastikan mereka mendapat hak mereka yang selayaknya seterusnya dapat membangun golongan ini agar tidak terus tertinggal dan merasa tersisih.

TRANSFORMASI PENDIDIKAN KHAS DI MALAYSIA

Jika kita soroti sejarah perkembangan dan perubahan sistem Pendidikan Khas di Malaysia kita akan dapat simpulkan bahawa pendidikan khas di Malaysia sudahpun bermula sejak zaman sebelum merdeka lagi. Usaha ini juga dimulakan oleh sukarelawan dan akhirnya berkembang mengikut peredaran zaman serta memenuhi tuntutan dan kehendak semasa. Bermula sekitar 1920-an, golongan sukarelawan ini telah membuka sekolah-sekolah untuk murid yang mempunyai masalah penglihatan dan pendengaran. Rentetan daripada itu, pusat belajar atau sekolah-sekolah untuk golongan kurang upaya ini didirikan dan berubah kepada institusi yang lebih formal.

Sebenarnya terdapat beberapa peristiwa penting yang mempengaruhi transformasi pendidikan khas di Malaysia. Perkara ini disebabkan kerana Malaysia mempunyai hubungan diplomatik yang amat baik dengan negara-negara serantau dan menganggotai pertubuhan-pertubuhan dunia. Maka dengan itu, Malaysia telah menandatangani beberapa deklarasi, penyataan mahupun konvensyen dunia dan perkara ini sedikit sebanyak mempengaruhi transformasi pendidikan khas di negara kita. Antara peristiwa yang mempengaruhi transformasi pendidikan khas di Malaysia adalah Persidangan Antarabangsa di Jomtien Thailand pada tahun 1990 yang menekankan Education for All yang mana persidangan ini menyimpulkan resolusi akses untuk mendapatkan pendidikan masih lagi terbatas dan masih terdapat sekelompok kecil yang terpinggir dalam mendapatkan hak pendidikan seperti golongan kurang upaya, golongan etnik yang minority dan suku yang terasing.

Persidangan Hak Kanak-Kanak Sedunia atau Children’s Right Convention pada 30 November 1989 juga memberikan kesan kepada perkembangan pendidikan khas di Malaysia. Malaysia menghadiri konvensyen tersebut dan bersetuju untuk memenuhi hak kanak-kanak terutamanya hak untuk mendapatkan pendidikan. Di samping itu, Malaysia juga telah menyertai World Conference On Special Needs Education: Access And Quality pada tahun 1994 di Salamanca, Sepanyol. Peristiwa penting daripada persidangan tersebut adalah pemantapan daripada penyataan di Jomtien iaitu Education for All dan wujudnya pendidikan inklusif. Natijahnya, negara kita kini telah menetapkan Pendidikan Inklusif sebagai salah satu program pendidikan khas di Malaysia.

Sejarah tercipta apabila Sekolah Rendah Pendidikan Khas Princess Elizabeth beroperasi sepenuhnya pada tahun 1948 di Johor Bharu yang menyediakan pendidikan untuk kanak-kanak buta. Sekolah ini adalah institusi pendidikan formal untuk kanak-kanak buta di Malaysia dan menjadi batu asas dalam transformasi pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Pada tahun 1954 Sekolah Persekutuan Kanak-Kanak Pekak ditubuhkan di Pulau Pinang untuk kanak-kanak pekak. Program pemulihan ke atas pelajar “lembam” (lemah dalam menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira pada tahap umurnya) bermula pada tahun 1978. Manakala program untuk kanak-kanak ‘Bermasalah Pembelajaran’ baru bermula pada tahun 1988 apabila buat pertama kali Kementerian Pendidikan memulakan kelas perintis di Sekolah Kebangsaan Jalan Batu, Kuala Lumpur. Kelihatan bahawa perkembangan pendidikan khas di Malaysia bertumpu kepada kumpulan kanak-kanak buta, pekak, dan bermasalah pembelajaran.

Pendidikan Khas terutama untuk kurang upaya penglihatan di Malaysia dilihat semakin baik dengan bermulanya latihan perguruan khas di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) pada tahun 1977. Guru-guru mendapat latihan khusus untuk pengajaran bagi kanak-kanak berkeperluan khas bermasalah penglihatan dan kemudian Jawatankuasa Utama Pembentukan Kod Braille Bahasa Melayu ditubuhkan pada tahun 1978. Perkara ini telah menjadi urusan pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih mudah kerana rujukan dan sumber pengajaran sudah tersedia dalam edisi Bahasa Melayu.

Menjadi peristiwa yang penting juga apabila bermula tahun 1983, semua sekolah rendah pendidikan khas yang pernah dibuka di Malaysia samaada menerusi persendirian, institusi keagamaan serta pertubuhan bukan kerajaan diambilalih dan mula ditadbirurus oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Bermula daripada itulah, kerajaan mulai serius dalam membangunkan dan menambahbaik sistem pendidikan khas baik dari aspek kurikulum sehinggalah pengurusan dan pentadbirannya. Antara langkah pertama yang diusahakan oleh kerajaan pada ketika itu adalah menubuhkan Jawatankuasa Kod Braille Al Quran, menyediakan bahan-bahan pengajaran dalam braile seperti buku teks serta membantu menyedia dan menyelenggara alatan-alatan braille bagi tujuan pendidikan. Selain itu, latihan guru diteruskan di Maktab Perguruan Ilmu Khas bagi memastikan guru benar-benar telah bersedia untuk mendidik anak-anak berkeperluan khas terutama golongan kurang upaya penglihatan.

Bagi pendidikan anak-anak untuk bermasalah pendegaran pula, antara peristiwa penting yang tercatat dalam sejarah adalah Pembukaan Kelas Pendidikan Khas di Jalan Northam, Pulau Pinang pada tahun 1954. Usaha ini dimulakan oleh Toh Puan Lady Templer atas keperihatinan dan kesedaran mengenai keperluan pendidikan untuk golongan kurang upaya pendengaran. Permintaan menjadi semakin meningkat pada awal tahun 1960 walaupun pendidikan yang disediakan hanyalah pada peringkat rendah sahaja. Sejurus kemudian, pada tahun 1963, kelas tersebut telah dinaiktarafkan menjadi sebuah sekolah yang dibangunkan di Tanjung Bunga dan terus mengalami perkembangan. Dalam tahun yang sama juga Latihan Perguruan Pendidikan Khas Cacat Pendengaran disediakan di Maktab Perguruan Ilmu Khas Cheras. Maka dengan itu, menjelang tahun 1969, Sekolah ini telah diambilalih sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan.

Pembukaan sekolah ini memberikan kesan besar dalam pendidikan khas bermasalah pendengaran. Hal ini dibuktikan pada tahun 1970, sekolah ini memperkenalkan kaedah komunikasi menyeluruh dan mula menggunakan kaedah tersebut setelah mendapat kebenaran daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Setelah Berjaya membuktikan keberkesanan kaedah tersebut, akhirnya kaedah komunikasi seluruh mula dilaksanakan di semua sekolah pendidikan khas di Malaysia bermula 1978 sehingga kini. Di samping itu, sekolah ini juga yang telah memulakan program vokasional sekitar tahun 1961 dan telah menampakkan kesan yang positif, maka kerajaan mengorak langkah yang lebih proaktif dengan membuka Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional pada tahun 1987 yang terletak di Shah Alam dan masih beroperasi sehingga kini.

Sistem Pendidikan Khas di Malaysia terus mengalami transformasi apabila terbentuknya program pendidikan khas untuk kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran. Jika pada peringkat awal, pendidikan khas hanya tertumpu untuk kanak-kanak yang bermasalah penglihatan dan pendengaran sahaja. Namun, pada tahun 1988, kelas rintis untuk kanak-kanak bermasalah pembelajaran di sekolah rendah mulai dijalankan. Seterusnya, pada tahun 1993 KPM telah menempatkan tiga orang pelajar pendidikan khas belajar dalam aliran perdana tingkatan 6 di Sekolah Menengah Menthodist (L), Kuala Lumpur. Kemudian 14 sekolah di seluruh Malaysia diwujudkan program inklusif dan pada tahun 1995, program ini diperluaskan untuk peringkat pendidikan menengah.

Sehingga ke hari ini kita dapat lihat hampir semua sekolah rendah mempunyai Kelas Pendidikan Khas atau kini dikenali sebagai Program Pendidikan Khas Integrasi yang menempatkan kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Begitu juga dengan sekolah menengah agar kanak-kanak ini mendapat akses pendidikan yang selayaknya. Pada hari ini, program Sekolah Pendidikan Khas ditadbir sepenuhnya oleh Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia manakala untuk program Pendidikan Khas Integrasi dan Program Pemulihan Khas dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing. Begitu juga dengan kurikulum pendidikan khas, KPM kini telah menetapkan kurikulum standard untuk semua sekolah dan program pendidikan khas di Malaysia. Kurikulum ini adalah kurikulum altenatif yang diubahsuai daripada kurikulum perdana sesuai dengan tahap dan perkembangan anak-anak berkeperluan khas. Kurikulum ini mencakupi Kurikulum Standard Prasekolah Pendidikan Khas, Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas, Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas dan Kurikulum Vokasional Pendidikan Khas.

RUMUSAN

Sebagai kesimpulannya, pendidikan khas di Malaysia sebenarnya mengalami transformasi yang ketara bermula daripada zaman sebelum kemerdekaan sehinggalah ke hari ini. Jika awal dahulu dimulakan atas kesedaran serta digerakkan oleh pihak institusi agama dan pihak bukan kerajaan, hari ini sistemnya bertambah baik dan terus mengalami transformasi baik dari aspek pengurusan, pentadbiran, latihan guru, kurikulum, pentaksiran dan juga kokurikulum. Sehubungan dengan itu, kajian demi kajian haruslah dilaksanakan dengan lebih giat bagi memastikan sistem pendidikan khas kita menjadi semakin baik dan setanding dengan negara-negara maju yang lain. Semua pihak terutamanya kerajaan harus sentiasa peka dan cakna akan perubahan dan tuntutan semasa agar tiada pihak yang terkecuali dalam mendapatkan peluang pendidikan.

RUJUKAN

Al-Quran Al Karim

Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685)

Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)

Bahagian Pendidikan Khas (2014). Kod Amalan Pendidikan Murid Berkeperluan Khas. Putrajaya: KPM

Bahagian Pendidikan Khas (2015). Buku Panduan Program Pendidikan Khas Integrasi. Putrajaya: KPM

Mohd Zuri Ghani (2018). Pendidikan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas. Tanjong Malim: Penerbit Upsi.

Mohd Zuri Ghani, Aznan Che Ahmad & Zainuddin Mohd Isa. (2014). Masalah Pembelajaran. Tanjong Malim: Penerbit Upsi.

Norfishah Mat Rabi (2017). Transfomasi Pendidikan Murid Kurang Upaya. Tanjong Malim: Penerbit Upsi.

Wickneswaran Kaliaperumal (2005). Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak. Kuala Lumpur:SUHAKAM