10-Feb-24 oleh Sheeda Fathil
SHAH ALAM, 6 FEB: Sejumlah RM5 juta diperuntuk bagi menubuhkan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) yang dijangka mula beroperasi pada Oktober ini, kata EXCO kebajikan masyarakat. Anfaal Saari berkata program yayasan yang diselia Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan memperkasa usaha sedia ada untuk membela nasib serta masa depan orang kurang upaya (OKU).
“Penubuhan YANIS bertujuan mengembangkan fungsi Jabatan Anak Istimewa Selangor yang mana sebelum ini menjadi pelaksana inisiatif berkaitan Bantuan Khas ANIS, Akademi ANIS, Prasekolah ANIS dan Pusat Sokongan Intervensi ANIS. “Justeru, dengan wujudnya YANIS kita bukan sahaja dapat dana daripada Kerajaan Negeri tetapi kita akan berusaha mendapatkan bantuan awam untuk menyebar luaskan lagi program ANIS bagi membantu anak istimewa di Selangor,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serahan Bantuan Khas ANIS di Pusat Sokongan Pendidikan Awal ANIS di Bangunan IDCC di sini semalam. Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Menteri Besar berkata YANIS bakal ditubuhkan bagi memperluas perkhidmatan kepada OKU tanpa mengira had umur berbanding sebelum ini hanya melibatkan bawah 18 tahun. Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selaras matlamat kedua Rancangan Selangor Pertama (RS-1), YANIS ditubuh untuk mempertingkat inklusiviti sosial dan kesejahteraan masyarakat dengan tumpuan terhadap kumpulan sasar. Selain itu, katanya tumpuan turut diberikan kepada program pendidikan anak OKU, latihan dan pendayaupayaan agar mereka mampu mandiri dan mendapatkan peluang pekerjaan lebih baik.