10-Feb-24 oleh Selangor Kini
SHAH ALAM, 6 FEB : Cekal membesarkan anak perempuannya yang cacat penglihatan dan kerap sawan, seorang ibu tunggal bersyukur menerima Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS). Berkongsi pengalaman membesarkan anak istimewa, Tan Moi Chai, 45, berkata Soh Wan Teng, 18, mengalami simptom itu sejak lahir dan memerlukan kos yang tinggi untuk perubatan serta penjagaannya.
“Sebelum ini saya kerja kemudian selepas bercerai ketika anak usia lima tahun saya berhenti kerana mahu menjaga dia. Kali ini saya kerja sementara di salah sebuah syarikat untuk menyara kehidupan kami berdua. “Anak masih bergantung pada lampin dan kos merawatnya pula memang agak tinggi. Syukur ada rakan yang kenalkan bantuan ANIS, terima kasih kerana prihatin kepada semua golongan,” katanya ketika ditemui. Beliau antara 1,230 penerima Bantuan Khas ANIS yang disampaikan oleh EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari di Pusat Sokongan Pendidikan Awal ANIS di Bangunan IDCC di sini semalam. Perkara sama turut dikongsikan, Siti Rahmah Abu Bakar, 35, ibu kepada Muhammad Alif Firdaus Mohd Saiful Idham, 2, yang menghidap palsi serebrum sejak usia enam bulan dan bergantung dengan tiub untuk makan dan minum. “Kos bulanan untuk susu anak saya sahaja RM600 sebulan belum campur lain-lain alat perubatan. Kami bukan orang senang suami kerja buat batu nisan, sebelum ini saya kerja tetapi berhenti kerana nak jaga anak istimewa ini. “Ada rakan yang cadangkan supaya mohon bantuan ANIS. Alhamdulillah Kerajaan Selangor luluskan permohonan, sedikit sebanyak ringankan tanggungan kami,” kata ibu kepada tiga anak yang menetap di Sekinchan. Sementara itu, S Tharmentras, 29, bapa kepada T Merwin, 4, berharap bantuan itu diteruskan dan disebar luaskan lagi demi membantu ibu bapa atau penjaga yang memiliki anak istimewa ini. “Sudah lama mohon bantuan khas ini akhirnya baru-baru ini dapat panggilan permohonan kami lulus, duit bantuan akan digunakan untuk beli keperluan anak. “Susu dia sahaja mencecah RM150 satu tin dan memerlukan sekurang-kurangnya empat tin sebulan, bukan tidak mahu tukar susu lain tetapi kami cuba cuma tidak sesuai dengan anak kami,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori. Terdahulu dalam majlis sama, Anfaal berkata sejumlah RM5 juta diperuntuk bagi menubuhkan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) yang dijangka mula beroperasi pada Oktober ini. Beliau berkata berkata program yayasan yang diselia Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan memperkasa usaha sedia ada untuk membela nasib serta masa depan orang kurang upaya (OKU).