Kembali Ke Senarai Artikel

EXCO: Negeri peruntuk RM2.6 juta bantuan khas ANIS tahun lalu

10-Feb-24 oleh Sheeda Fathil

SHAH ALAM, 5 FEB: Kerajaan Negeri menyelesaikan agihan baki 30 daripada 1,230 jumlah penerima keseluruhan bagi Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) hari ini. EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata RM2.6 juta diperuntuk tahun lalu bagi menyantuni golongan terbabit.

“Pada asalnya peruntukan Bantuan Khas ANIS adalah RM1 juta tetapi Disember lalu kita menerima dana tambahan RM1.6 juta bagi memastikan lebih ramai dibantu. “Alhamdulillah, hari ini kita selesaikan baki bantuan kepada 30 lagi penerima mengikut keperluan iaitu sama ada perubatan, pendidikan dan peralatan kesihatan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serahan Bantuan Khas ANIS di Pusat Sokongan Pendidikan Awal ANIS di Bangunan IDCC di sini hari ini. Berharap bantuan meringankan beban penerima, Anfaal berkata pihaknya berusaha meneruskan bantuan dan sokongan kepada keluarga yang dikurniakan anak istimewa. “Kita faham beban yang ditanggung ibu bapa yang ada anak orang kurang upaya (OKU) ini lebih berat dan perbelanjaan untuk menampung anak ini juga agak besar. “Justeru, Kerajaan Negeri amat prihatin dan sedar dengan kos yang perlu ditanggung penjaga anak istimewa ini, Bantuan Khas ANIS akan diteruskan lagi tahun ini,” katanya. Permohonan itu meliputi bantuan makanan atau keperluan tambahan, pembelian atau pembaikan peralatan serta mesin dan ubatan-ubatan. Turut ditawar subsidi yuran pendidikan meliputi terapi atau kelas khas kepada mereka yang layak berdasarkan preskripsi doktor sahaja. Insentif tersebut menawarkan bantuan sekali bayar (one-off) dengan had maksimum sehingga RM5,000 bagi satu keluarga.