Sejak dulu lagi, kajian menunjukkan aktiviti fizikal memberi impak yang baik bagi kanak-kanak autism. Levinson and Reid (1993) dan Richmond (2000) menunjukkan pengurangan stereotyped behavior di kalangan kanak-kanak autism setelah terlibat dengan aktiviti fizikal.
Pemilihan aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan tahap keupayaan anak adalah sangat penting. Ini bagi memastikan mereka dapat melakukan segala aktiviti harian dengan baik. Sekiranya anak tiada masalah dengan keseimbangn badan, koordinasi badan, kurang menghadapi masalah sensori dan boleh memahami dan mengikut arahan, terdapat banyak pilihan aktiviti fizikal yang boleh dilakukan . Diantaranya adalah seperti berenang, berjoging dan berbasikal.
Selain itu, aktiviti fizikal yang mudah dan ringkas juga boleh dilakukan di luar rumah seperti bermain bola bersama ahli keluarga yang lain. Contohnya, membaling dan menangkap bola serta menyepak bola (passing ball). Disamping beriadah, aktiviti ini dapat mengeratkan lagi hubungan baik antara ahli keluarga. Sekiranya anak tidak selesa dengan persekitaran luar, aktiviti seperti pergerakan aerobik diiringi muzik yang sesuai boleh dilakukan bersama-sama di dalam rumah.
Walaubagaimanapun, untuk mengetahui aktiviti yang sesuai dengan keupayaan anak, adalah penting bagi ibu bapa untuk mendapatkan pandangan dan nasihat daripada terapis yang biasa merawat anak. Ini kerana selain daripada koordinasi dan kekuatan fizikal, terdapat faktor lain yang melibatkan masalah sensori dan keupayaan dalam memahami sesuatu aktiviti juga perlu diambil kira. Hal ini bagi memastikan mereka dapat merasa keseronokan bermain dengan selamat dan dalam masa yang sama dapat mengekalkan kesihatan yang baik hasil daripada pergerakan yang aktif.
Admin ANIS dalam kategori
FISIOTERAPI