Pertama sekali, kita perlu mengenalpasti punca anak membaca tetapi bunyi yang disebut tidak jelas. Adakah ketika bercakap dengan orang juga pertuturannya tidak jelas? Ataupun adakah ia hanya terjadi ketika membaca? Terdapat pelbagai punca yang boleh diandaikan.
Situasi 1: Pertuturan anak tidak jelas semasa bertutur dan membaca
Jawapan: Dalam situasi ini, Tuan/Puan perlu mendapatkan temujanji dengan speech-language therapist (SLT) dengan segera untuk mengenalpasti punca kurang kejelasan dalam pertuturan. Dari situ, SLT akan merancang pelan untuk meningkatkan kejelasan pertuturan anak bersama Tuan/Puan. Sambil menunggu temujanji bersama SLT, Tuan/Puan juga boleh galakkan anak untuk tingkatkan kejelasan bunyi melalui meniru bunyi-bunyi tertentu (Tuan/Puan juga boleh menggunakan cermin untuk galakkan pergerakan mulut yang betul) dan merakam percakapan anak untuk meningkatkan kesedaran terhadap kejelasan pertuturan.
Situasi 2: Pertuturan anak tidak jelas ketika membaca sahaja. Pertuturannya jelas ketika berbual dengan semua orang.
Jawapan: Dalam situasi ini, Tuan/Puan perlu mengenalpasti punca pertuturannya tidak jelas. Adakah disebabkan anak belum mahir membaca lagi (contoh: B + A cara sebutannya ialah "ba") ataupun baginya aktiviti membaca ini membosankan?
Jika anak yang berumur 7 tahun ke atas masih belum mahir membaca lagi, Tuan/Puan adalah digalakkan untuk menghantar anak ke kelas membaca dan praktis membaca dengan anak setiap hari. Aktiviti membaca ini boleh bermula daripada pengenalan huruf dan bunyinya, seterusnya pada tahap suku kata, perkataan, ayat seterusnya dalam perenggan. Tunjukkan pada anak cara membaca dengan betul, kemudian galakkan anak untuk meniru.
Jika aktiviti membaca bagi anak membosankan, Tuan/Puan digalakkan untuk memberikan sesuatu sebagai motivasi (contoh: anak dapat mewarna satu gambar kartun kegemarannya selepas membaca satu muka surat). Melalui cara ini, kita dapat memupuk anak untuk suka membaca dan pada masa yang sama dapat meningkatkan kemahiran membaca.
Admin ANIS dalam kategori
TERAPI PERTUTURAN