Soal Jawab ANIS

Sila Nyatakan Soalan Pada Ruangan Dibawah
Soalan Terbaru
User
SAYA TAKUT UNTUK MENGHANTAR ANAK SAYA KE PENGASUH DISEBABKAN OLEH KEADAAN ANAK SAYA YANG MEMPUNYAI AUTISME. SAYA AKAN MENGHANTAR ANAK SAYA KE RUMAH IBU BAPA SAYA TAPI PADA MASA YANG SAMA SAYA TIDAK MAHU MENYUSAHKAN MEREKA DISEBABKAN OLEH FAKTOR USIA MEREKA YANG SEMAKIN MENINGKAT. SAYA ADA TERFIKIR UNTUK BERHENTI KERJA TETAPI SAYA TAKUT SAYA TIDAK MENAMPUNG BEBAN KELUARGA YANG SEMAKIN MENINGKAT. APAKAH YANG PERLU SAYA LAKUKAN?

Puan disarankan untuk membuat perancangan secara bertulis di dalam jurnal atau diari. Senaraikan keperluan mengikut keutamaan dan cadangan kaedah penyelesaian. Senaraikan juga kelebihan dan kekurangan yang diramalkan dengan setiap tindakan yang bakal diambil.

Puan digalakkan untuk memohon bantuan daripada ahli keluarga atau kenalan rapat. Jangan malu untuk bercerita tentang kekangan dan kesukaran yang dihadapi. Dapatkan bantuan pengasuh yang menawarkan perkhidmatan jagaan anak Autisme. Pengasuh perlu mendapatkan latihan awal untuk memahami dan menjaga anak Autisme. Sebaik-baiknya, dapatkan perkhidmatan asuhan dari institusi atau organisasi berdaftar dan pengasuh adalah dari kalangan individu terlatih.

Admin ANIS dalam kategori PSIKOLOGI

11-SEP-23
User
IBU DAN BAPA SAYA TIDAK PERCAYA DENGAN AUTISME DAN SELALU MEMINTA SAYA UNTUK BERUBAT KAMPUNG UNTUK MENGATASI MASALAH ANAK SAYA. APA YANG PERLU SAYA LAKUKAN SUPAYA MEREKA MEMAHAMI TENTANG AUTISME INI?

Puan disarankan untuk membuat penerangan secara ringkas namun padat dan tepat kepada datuk dan nenek dengan menggunakan infografik, gambar dan/atau video animasi agar penerangan tersebut mudah difahami dan diterima oleh golongan berusia. Elakkan menggunakan terma-terma yang sukar untuk difahami.

Admin ANIS dalam kategori PSIKOLOGI

11-SEP-23
User
ANAK SAYA AKAN MEMASUKI ALAM PERSEKOLAHAN DALAM MASA TERDEKAT. DIA SANGAT RAPAT DENGAN SAYA DAN SAYA SERING MENEMANINYA KETIKA SESI INTERVENSI DAN PRASEKOLAH SEBELUM INI. SAYA RISAU DIA TIDAK BOLEH BERPISAH DENGAN SAYA APABILA MASUK KE SEKOLAH RENDAH NANTI. BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENGATASI ISU INI?

Puan disarankan secara konsisten untuk menggunakan cerita sosial (social story) dengan menggunakan visual gambar sebenar situasi yang akan anak hadapi contohnya gambar sekolah, pakaian sekolah yang akan dipakai, lencana sekolah, beserta rutin yang akan dijalani pada hari sesi persekolahan tersebut. Puan juga perlu menerangkan siapa individu yang akan berada di sekolah bersama anak sepanjang tempoh persekolahan seperti guru kelas, rakan-rakan, pembantu pengurusan murid dan sebagainya. Perasaan bimbang dan risau itu normal, tetapi boleh dikurangkan dengan memberi ramalan dan gambaran awal kepada anak tentang situasi yang bakal dihadapi.

Admin ANIS dalam kategori PSIKOLOGI

11-SEP-23
User
KETIKA MAKAN DI LUAR, ANAK SAYA ADA TABIAT PERGI DAN MAKAN MAKANAN YANG BERADA DI MEJA SEBELAH KAMI. SAYA INGIN MASYARAKAT FAHAM TENTANG ANAK AUTISME SAYA DAN TIDAK MEMANDANG SERONG TERHADAPNYA TAPI SAYA TAK TAHU BAGAIMANA CARA UNTUK MELAKUKANNYA.

Kanak-kanak Autisme perlu dilatih dan dibimbing dengan peraturan tingkah laku berkenaan perkara yang boleh dilakukan dan larangannya (dos and don'ts). Puan disarankan untuk menetapkan peraturan yang jelas di meja makan atau di kedai makan. Kaedah cerita sosial (social story) boleh membantu anak Autisme untuk memahami situasi sosial dan membantu mereka menghadapi dan mempelajari cara tingkah laku yang bersesuaian dalam situasi yang akan dihadapi.

Admin ANIS dalam kategori PSIKOLOGI

11-SEP-23
User
BAGAIMANAKAH CARA UNTUK SAYA JELASKAN KEPADA KELUARGA TERDEKAT TERUTAMA DATUK DAN NENEKNYA BAHAWA ANAK SAYA ADALAH SEORANG INSAN ISTIMEWA?

Apabila menerangkan tentang diagnosis anak, fokus kepada tingkah laku. Ahli keluarga mungkin menyedari dan mengetahui tanda-tanda Autisme seperti tiada pandangan mata (eye contact) atau berada dalam dunia sendiri. Jelaskan tentang pengetahuan asas berkenaan diagnosis tersebut. Puan boleh menggunakan penerangan secara paparan animasi video, visual bergambar atau infografik bagi memudahkan kefahaman berkenaan diagnosis tersebut.

Admin ANIS dalam kategori PSIKOLOGI

11-SEP-23
User
APA YANG BOLEH SAYA LAKUKAN JIKA ANAK SAYA SUKA MELUKIS GAMBAR KEMALUAN?

Komunikasi amat penting bagi memastikan kanak-kanak faham tentang lukisannya. Puan boleh bertanya secara lisan berkenaan gambar tersebut, adakah anak faham dengan gambar yang dilukis dan mengapa anak melukis gambar tersebut. Puan digalakkan menggunakan bahasa dan perkataan yang mudah untuk anak fahami.

Admin ANIS dalam kategori PSIKOLOGI

11-SEP-23
User
APA YANG BOLEH SAYA BUAT JIKA ANAK SAYA SUKA MENYENTUH KEMALUANNYA?

Rasa ingin tahu dan menyentuh bahagian alat kemaluan adalah salah satu dalam perkembangan awal seksual kanak-kanak. Semakin kanak-kanak meningkat dewasa, mereka memerlukan bimbingan dalam mengenali anggota badan dan fungsinya.

Namun, puan dinasihatkan untuk mencari punca kepada tingkah laku menyentuh kemaluan tersebut. Adakah perlakuan tersebut disebabkan isu sensori, atau anak ada menonton video atau gambar kemaluan, atau anak berasa tidak selesa dengan fabrik seluar yang dipakai seperti seluar ketat, atau mungkin anak memasuki fasa akil baligh dan sebagainya.

Admin ANIS dalam kategori PSIKOLOGI

11-SEP-23
User
SAYA MEMPUNYAI 3 ORANG ANAK KEMBAR AUTISME. SAYA STRESS KERANA SIBUK MENGURUSKAN KETIGA-TIGA ANAK SAYA DAN SAYA TIADA LANGSUNG ME-TIME UNTUK DIRI SENDIRI. BAGAIMANA CARA UNTUK MENGATASI ISU INI?

Puan merupakan seorang ibu yang hebat kerana menguruskan tiga orang anak kembar Autisme. Setiap anak Autisme adalah berbeza kekuatan dan kelemahan. Raikan kekuatan mereka dan bantu keperluan mereka dari aspek sokongan.

Antara strategi yang boleh dicadangkan dengan situasi puan adalah :
1. Wujudkan jadual harian - Susun jadual rutin harian anak dari pagi hingga waktu malam supaya anak puan terlibat dalam aktiviti pembelajaran, intervensi/terapi dan aktiviti fizikal secara teratur. Pematuhan kepada rutin yang ditetapkan membawa kestabilan dan keselesaan kepada kehidupan mereka - justeru puan mempunyai lebih masa untuk diri sendiri.

2. Bantuan - Mohon bantuan daripada ahli keluarga atau kenalan rapat. Jangan malu untuk bercerita tentang kekangan dan kesukaran yang dihadapi. Dapatkan bantuan pengasuh yang menawarkan perkhidmatan jagaan anak Autisme. Pengasuh perlu mendapatkan latihan awal untuk memahami dan menjaga anak Autisme .

3. Bernafas / Meditasi - Kawalan pernafasan dan/atau meditasi membantu untuk bertenang dan kekal rasional dalam mengawal pemikiran dan tindakan. Aktiviti mudah seperti bernafas dalam-dalam selama 3-5 minit, 2-3 kali sehari, akan membantu puan berasa kurang letih dan lebih terkawal.

4. Hobi - Cari masa untuk lakukan aktiviti yang puan sukai walaupun sekejap seperti berkebun, memasak, menonton televisyen dan sebagainya secara konsisten dan teratur.

5. Jurnal - Menulis jurnal adalah aktiviti yang sangat digalakkan kerana ia meningkatkan kesedaran diri, memberi ruang puan meluahkan isi hati dan buah fikiran serta 'visualise' kebimbangan. Puan boleh mencatat rancangan dan idea secara lukisan mahupun catatan ringkas agar puan lebih jelas dengan isu yang dihadapi dan membuat perancangan cara mengatasi secara lebih tersusun dan realistik.

6. Komunikasi - Puan disarankan untuk berkomunikasi bersama pasangan berkenaan urusan pengendalian anak-anak. Kerjasama dan kesefahaman antara ibu bapa amat penting bagi pengurusan kestabilan emosi, rohani dan kesihatan mental kedua-duanya dalam menghadapi kesukaran pengurusan harian. Ibu bapa disarankan saling berkongsi kesukaran yang dihadapi agar solusi dapat dicapai. Saling bertukar pendapat dan bersama-sama dalam pengurusan pengendalian anak-anak sedikit sebanyak dapat melegakan rasa terbeban dan tekanan yang dihadapi. Elakkan berbincang dalam keadaan marah, penat dan tertekan kerana dikhuatiri pemikiran dikawal sepenuhnya emosi.

Admin ANIS dalam kategori PSIKOLOGI

06-MAR-23
User
GURU DI PUSAT EIP SERING MEMBERIKAN ADUAN MENGENAI ANAK YANG BERADA DI PUSAT EIP. SUAMI SAYA CEPAT NAIK ANGIN DENGAN ADUAN GURU INI DAN AKAN MEMARAHI GURU TERSEBUT. MACAM MANA SAYA NAK MENASIHATI SUAMI SAYA UNTUK SENTIASA BERSABAR DAN MENERIMA ADUAN YANG GURU BERIKAN?

Perbincangan bersama guru EIP diperlukan bagi mendapatkan laporan perkembangan dan memahami permasalahan yang dihadapi anak di EIP. Puan disarankan untuk mendapatkan khidmat konsultasi terapis yang berkaitan dengan jenis aduan/laporan yang diterima contohnya pengurusan tingkah laku, isu sensori, pertuturan-bahasa dan sebagainya supaya kedua-dua pihak faham situasi sebenar yang dihadapi. Tindakan lanjut boleh dirancang berdasarkan konsultasi yang diterima. Konsultasi dan penilaian bidang khusus seperti Ahli Terapi Cara Kerja, Ahli Pertuturan Bahasa, Ahli Audiologis dan Ahli Psikologi disarankan dalam perancangan tindakan selanjutnya yang bertepatan dengan keperluan anak.

Admin ANIS dalam kategori PSIKOLOGI

06-MAR-23
User
SUAMI SAYA MASIH LAGI DALAM FASA IN DENIAL WALAUPUN ANAK KAMI TELAH DIDIAGNOS ASD. MACAM MANA SAYA NAK NASIHATI DIA UNTUK MENERIMA HAKIKAT DAN TAKDIR INI?

Untuk menangani fasa penafian dalam penerimaan Autisme (denial), kita perlu sedar bahawa setiap individu mempunyai sejarah latar belakang, tahap pendidikan, budaya, dinamik keluarga yang berbeza dan pelbagai. Oleh yang demikian, penerimaan Autisme adalah satu proses dan usaha yang mungkin mengambil masa bagi sesetengah individu. Namun begitu, terdapat beberapa strategi yang boleh dilakukan bagi tujuan tersebut:

Bergaul dan berkomunikasi dengan pelbagai kumpulan sokongan dan ibu bapa yang mempunyai anak Autisme boleh membantu dalam mengurangkan kekeliruan, ketakutan dan penafian Autisme. Ibu bapa akan lebih jelas tentang situasi yang dihadapi, dan dapat memahami anak mereka berdasarkan perbincangan dua hala secara aktif bersama ahli kumpulan sokongan yang berada dalam situasi yang sama.

Penjelasan dan perbincangan secara terbuka kepada saudara-mara, ahli keluarga dan kenalan terdekat tentang Autisme boleh membantu ibu bapa untuk mendapatkan sokongan moral dan bantuan dalam pengendalian serta pengurusan anak Autisme. Golongan ini selalunya menjadi tulang belakang kepada ibu bapa dalam menerima diagnosis anak.

Admin ANIS dalam kategori PSIKOLOGI

06-MAR-23
User
ANAK SAYA HFA (MODERATE ASD) BERUSIA 10 TAHUN, LELAKI. SUDAH 3 TAHUN BERADA DI PPKI DAN SEMAKIN HARI SEMAKIN BANYAK REGRESSION YANG BERLAKU. KATANYA SILIBUS SAMA MACAM TABIKA. ANAK SAYA SERING BERKATA LEBIH BAIK BELAJAR DI RUMAH. GURU-GURU PPKI TIDAK SETUJU ANAK SAYA DIINKLUSIFKAN WALAUPUN SUDAH ADA RECOMMENDATION LETTER DARI CLINICAL PSYCHOLOGIST. JADI, SAYA MOHON PENDAPAT PN HIDAYAH, APA YANG PERLU SAYA SEBAGAI PENJAGA LAKUKAN. ANAK SAYA ENGGAN KE SEKOLAH. TERIMA KASIH.

Kesediaan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) berumur 7 hingga 16 tahun untuk menjalani sesi pembelajaran sama ada di kelas Program Pendidikan Inklusif (PPI) Penuh, Program Pendidikan Inklusif (PPI) Separa mahupun Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) boleh dikenal pasti dengan pengisian Senarai Semak Kesediaan Inklusif (SSKI) oleh pihak sekolah sama ada guru pendidikan khas atau guru aliran perdana yang terlibat secara langsung dengan MBPK. Terdapat skor pemarkahan yang boleh menerangkan kesediaan MBPK untuk mengikuti pendidikan mengikut aliran yang bersesuaian di sekolah.

SSKI MBK adalah instrumen yang disediakan oleh bahagian pendidikan khas, kementerian pendidikan malaysia yang terdiri daripada 47 item merangkumi 4 komponen utama iaitu kemahiran kognitif, kemahiran motor kasar dan halus, kemahiran sosio-emosi dan tingkah laku serta kemahiran pra-akademik.

Admin ANIS dalam kategori PSIKOLOGI

06-MAR-23
User
ANAK LELAKI SAYA AUTISM (ASD) BERUMUR 5 TAHUN SEORANG 'PICKY EATER'. BOLEH TIDAK MAKAN SEHARIAN HANYA MINUM SUSU SAHAJA. APA YANG SAYA PERLU BUAT UNTUK MENAMBAHKAN SELERA MAKAN ANAK SAYA? PERLU KAH MAKAN SUPLEMEN UNTUK MEMBANTU TAMBAH SELERA?

Pada umur 5 tahun susu sahaja tidak mencukupi untuk keperluan tumbesaran anak Puan. Saya mencadangkan untuk berjumpa dengan Pakar Pemakanan bagi membuat penilaian pemakanan secara keseluran bagi membantu dengan lebih terperinci. Ini termasuk nasihat keperluan supplement yang bersesuaian pada tempoh terdekat ini.

EZZATUL SYIMA dalam kategori PSIKOLOGI

07-FEB-23
User
ASSALAMUALAIKUM PN NOOR HIDAYAH. MAAF SAYA BERTANYA BAGAIMANA CARA NAK MEMBERITAHU ATAU MENERANGKAN KEPADA CUCU YANG SAYA JAGA INI BAHAWA BELIAU ADALAH ‘AUTISM’ (MODERATE). BELIAU AKAN MEMASUKI DARJAH 1 (PPKI) TAHUN INI. TERIMA KASIH.

BERIKUT ADALAH STRATEGI YANG BOLEH DILAKSANAKAN :

1. JADIKAN IA SEBAGAI PERBUALAN KASUAL HARIAN DENGAN MENERANGKAN MAKSUD AUTISME SECARA SEDIKIT DEMI SEDIKIT DENGAN MENGGUNAKAN PENDEKATAN SECARA VISUAL DAN SOCIAL STORY. SEBAGAIMANA PEMAHAMAN KANAK-KANAK BERKEMBANG DAN MEREKA DIPERKENALKAN DENGAN IDEA-IDEA BARU SETIAP HARI.

2. AMALKAN SIKAP TERBUKA UNTUK BERBORAK TENTANG AUTISME DARI SEMASA KE SEMASA. WUJUDKAN RUANG SELESA UNTUK ANAK ANDA BERSOAL JAWAB TENTANG AUTISME. IBU BAPA PERLU BERSEDIA DENGAN MAKLUMAT ASAS YANG TEPAT BERKENAAN AUTISME AGAR PENYAMPAIAN MAKLUMAT DAPAT DIBERIKAN DENGAN BAIK DAN TEPAT. SEBAGAI CONTOH, KETIKA DALAM PERJALANAN KE PUSAT INTERVENSI, PUAN BOLEH BERCERITA SEDIKIT DEMI SEDIKIT TUJUAN MENGHADIRI SESI INTERVENSI DAN KAITAN IA DENGAN DIAGNOSIS ANAK.

3. SAHKAN (VALIDATE) KESULITAN YANG MEREKA HADAPI. JELASKAN BAHAWA TIDAK MENGAPA SEKIRANYA MEREKA MENGHADAPI KESUKARAN TERHADAP TUGAS TERTENTU BERBANDING ORANG LAIN ATAU MEREKA SUKA MELAKUKAN SESUATU TUGASAN SECARA BERBEZA DARIPADA YANG LAIN. SETIAP ORANG MEMILIKI CARA BERBEZA DALAM MENYELESAIKAN SESUATU TUGASAN DAN IA BUKANLAH SATU KESALAHAN.

4. MENJADI ROLE MODEL AUTISME. DEDAHKAN KAEDAH-KAEDAH ATAU STRATEGI AKOMODASI TINGKAH LAKU ATAU PEMBELAJARAN KEPADA MEREKA SUPAYA MEREKA DAPAT ADAPTASI DAN MELATIH DIRI (MASKING) BERTINGKAH LAKU YANG MEMBERI MANFAAT KEPADA DIRI MEREKA SENDIRI DAN ORANG DI SEKELILING
MEREKA.

5. GALAKKAN MEREKA UNTUK BELAJAR MENGETAHUI LEBIH LANJUT TENTANG AUTISME SUPAYA MEREKA LEBIH FAHAM DAN DAPAT MENERIMA KEADAAN DIRI MEREKA BERDASARKAN KEKUATAN DAN KELEMAHAN MELALUI BAHAN YANG BERSESUAIAN DENGAN PERINGKAT UMUR DAN PERKEMBANGAN DIRI MEREKA.

6. BERI MEREKA PELUANG MEMBUAT KAWALAN. KANAK-KANAK MUNGKIN TIDAK MEMAHAMI AUTISME PADA PERINGKAT AWAL. JELASKAN KEPADA MEREKA BAHAWA MEMILIKI DIAGNOSIS AUTISME BUKANLAH SESUATU YANG KEADAAN YANG MEMALUKAN. MEREKA BERHAK MEMBUAT KEPUTUSAN DAN CARA TERBAIK UNTUK MENGGAMBARKAN DIRI MEREKA SENDIRI.

Adibah binti Mokhtar dalam kategori PSIKOLOGI

24-JAN-23